TANAH MERAH - Penduduk yang tinggal berdekatan Jalan Jedok-Jeli di Kampung Kelewek di sini terpaksa berdepan banjir empat atau lima kali setahun setiap kali tiba musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut (MTL) seperti sekarang.
Tinjauan Bernama di kampung berkenaan pada Selasa mendapati limpahan air anak sungai berdekatan telah memasuki jalan utama hingga ke kawasan kediaman penduduk dan premis perniagaan berdekatan.
Pemilik bengkel motosikal, Mawardi Ibrahim, 50, berkata, hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan limpahan air dari anak sungai yang terletak 200 meter dari bengkelnya menyebabkan jalan ditenggelami air dan lalu lintas tergendala.
"Sejak 10 pagi tadi air melimpah ke jalan dan memasuki kedai saya kerana sistem peparitan sedia ada tidak mampu menampung limpahan air daripada sungai berdekatan.
"Jika hujan lebat berterusan selama dua jam air akan mula melimpah ke jalan hingga kenderaan ringan tidak boleh lalu," katanya kepada Bernama pada Selasa.
Mawardi berkata, situasi itu memaksanya membina benteng konkrit bagi mengelakkan air memasuki premis perniagaannya.
"Memang letih kerana terpaksa ulang-alik ke tempat lebih tinggi untuk mengalihkan motosikal pelanggan bagi mengelakkan ia ditenggelami air sekali gus menanggung kerugian," katanya.
Penduduk, Khairul Afiq Dahni, 32, pula berkata, dia mengharapkan pihak berwajib segera membina parit yang lebih sistematik berdekatan jalan terbabit kerana situasi itu semakin kerap berlaku setiap tahun.
"Kami terpaksa melaluinya empat atau lima kali setahun malah air akan memasuki rumah setinggi paras paha orang dewasa yang menyebabkan banyak kerosakan," katanya. - Bernama