Karnival Ban Canal jangka tarik 20,000 pengunjung

Iklan
Tengku Amir (tiga kiri) diiringi Rizam (dua dari kiri) membuat pelepasan acara air semasa Karnival Ban Canal di Parit 14, Simpang Lima pada Selasa.

SABAK BERNAM - Karnival Ban Canal 2024 yang diadakan di Parit 14, Simpang Lima di sini dijangka mampu menarik kira-kira 20,000 pengunjung.

Karnival yang berlangsung selama lima hari bermula Selasa menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya sukan air, pameran agensi kerajaan dan swasta serta gerai jualan.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), Saipolyazan M Yusop berkata, jumlah kedatangan pengunjung pada tahun ini mampu mengatasi kehadiran 13,889 pelawat pada tahun lalu.

"Ramai yang tidak mengetahui penganjuran karnival ini pada tahun lalu, namun setelah penganjuran kali kedua ini, kita mendapat maklum balas memberangsangkan apabila ramai teruja dan ingin datang berkunjung ke sini," katanya ketika ditemui pada Selasa.

Iklan

Menurut Saipolyazan, Karnival Ban Canal itu juga dijadikan sebagai satu permulaan untuk menarik kehadiran pelancong sebagai Tahun Melawat Selangor 2025.

Kata beliau, karnival itu bukan semata-mata memberi tumpuan kepada aktiviti sukan rekreasi semata-mata, sebaliknya ia juga menyedarkan masyarakat tentang kepentingan memulihara alam sekitar.

Iklan

Ujar beliau, Ban Canal merupakan terusan yang dibina sejak zaman penjajahan British sebagai pengairan air di kawasan sawah.

Tengku Amir (tiga dari kiri) diiringi Saipolyazan (tiga dari kanan) dan Rizam (kanan) bergambar sebelum pelepasan anak ikan semasa Karnival Ban Canal di Parit 14, Simpang Lima pada Selasa..

"Betapa pentingnya kita perlu mengekalkan Ban Canal ini yang mempunyai segala biodiversiti yang ada di sekitarnya.

"Kita berharap dengan adanya karnival ini semakin ramai pengunjung menyokong segala inisiatif kerajaan bagi menanamkan rasa cinta dan memulihara alam sekitar," tambah beliau.

Sementara itu, Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, karnival itu secara tidak langsung dapat mempromosikan sukan air di daerah itu yang terkenal dengan agropelancongan dan kepelbagaian etnik masyarakatnya.

Jelasnya, penganjuran karnival itu juga mendapat perkenan daripada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah untuk merasmikan karnival terbabit.

"Tuanku juga berkenan untuk melepaskan sebanyak 10,000 anak ikan dan gimik perasmian acara air serta melawat reruai disediakan," ujar beliau.