Penyokong Imran Khan serbu ibu negara Pakistan, tuntut pembebasannya

Iklan
Anggota polis melepaskan peluru gas pemedih mata untuk menyuraikan penyokong parti Tehreek-e-Insaf (PTI) Pakistan semasa protes menuntut pembebasan Imran Khan di Islamabad. Foto AFP

ISLAMABAD - Sekurang-kurangnya enam anggota pasukan keselamatan terbunuh ketika mereka cuba menghalang ribuan penyokong bekas Perdana Menteri Pakistan yang dipenjarakan, Imran Khan, daripada menyerbu ibu negara Islamabad, kata pihak berkuasa pada Selasa, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Anggota Renjer separa tentera terbunuh selepas sebuah kenderaan merempuh mereka ketika penunjuk perasaan menyerbu ibu negara itu lewat malam Isnin, kata jurucakap polis persekutuan.

Iklan
Iklan

Sebelum itu, dua anggota polis terbunuh di kawasan pinggir Islamabad manakala lebih 100 pegawai keselamatan cedera dalam pertempuran dengan penunjuk perasaan.

Ribuan penunjuk perasaan yang dipimpin oleh isteri Imran bertempur dengan polis antirusuhan, yang menggunakan gas pemedih mata dan baton untuk menyuraikan mereka, kata pihak berkuasa.

Iklan

Menteri Dalam Negeri, Mohsin Naqvi dalam sidang media lewat malam berkata, kerajaan menawarkan tempat alternatif untuk protes mereka.

Bagaimanapun, Parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) pimpinan Imran bertegas untuk berhimpun di hadapan bangunan parlimen.

Pos pemeriksaan polis terbakar di tengah-tengah pertempuran antara penyokong Imran Khan dengan pasukan keselamatan, semasa protes menuntut pembebasan bekas Perdana Menteri itu di Islamabad. Foto Bernama

Iklan

Penunjuk perasaan perlahan-lahan berarak ke destinasi itu walaupun mendapat tentangan hebat daripada pasukan keselamatan.

Kerajaan mengerahkan ribuan anggota polis, anggota separa tentera dan askar serta mengenakan perintah berkurung tanpa had di ibu negara sejak Sabtu lalu apabila penyokong Imran mengancam untuk membebaskannya secara kekerasan.

Penunjuk perasaan memulakan perarakan dari ibu negeri Khyber-Pakhtunkhwa yang disokong oleh kerajaan wilayah pada Ahad.

Imran dipenjarakan sejak Ogos 2023 dan menghadapi perbicaraan atas dakwaan menghasut keganasan pada 9 Mei tahun yang sama iaitu hari apabila penyokongnya melakukan rusuhan dan menyerang kemudahan ketenteraan.

Beliau menafikan tuduhan itu. Semua sabitan terhadapnya digantung atau dibatalkan dalam beberapa bulan kebelakangan ini. - Bernama-dpa