JDT tewas tipis kepada Shandong Taishan

Iklan
Kapten JDT, Natxo Insa cuba mengekang pemain tengah Shandong, Li Yuanyi dalam aksi Zon Timur ACLE di Stadium Olimpik Jinan. Foto Johor Southern Tigers

JARINGAN pemain gantian, Zeca meranapkan hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk membawa pulang tiga mata apabila tewas 0-1 kepada kelab dari China, Shandong Taishan FC pada Selasa.

Zeca dimasukkan minit ke-46 menggantikan Liu Yang menterjemahkan sentuhan Cryzan juga pemain gantian (Xie Wenneng) untuk gol minit ke-68 dalam aksi Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Olimpik Jinan.

Iklan
Iklan

Kedua-dua pasukan sebelum itu menampilkan corak permainan menghiburkan dengan Harimau Selatan tampak lebih agresif berbanding Taishan Dui lebih bertahan bergantung harap kepada serangan pantas.

Arif Aiman Hanapi cuba melepasi kawalan pemain pertahanan Shandong, Liu Yang dalam aksi Zon Timur ACLE di Stadium Olimpik Jinan. Foto Johor Southern Tigers

Namun kegagalan jentera penyudah memanfaatkan peluang menyaksikan kedua-dua pasukan buntu mencari gol sehinggalah kemasukan Zeca dan Cryzan yang akhirnya menjelmakan jaringan tunggal perlawanan.

Iklan

Keputusan itu menyaksikan anak buah Hector Bidoglio kini mengumpul tujuh mata hasil dua menang, satu seri dan dua tewas selepas mengharungi lima perlawanan.

Taishan Dui kendalian Choi Kang-hee pula menambah tiga mata seterusnya mengumpul tujuh mata hasil dua menang, satu seri dan dua tewas setelah melengkapkan empat perlawanan.

Iklan

Harimau Selatan selepas ini meneruskan kempen ACLE dengan melayan kunjungan kelab Thailand, Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 3 Disember depan.

Namun sebelum itu JDT yang juga penyandang juara Piala Malaysia dengan bekalan tiga gol akan berdepan kelab Liga A1 Semi Pro, Kuala Lumpur Rovers dalam perlawanan kedua Pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim pada 30 November.