'Saya suruh dia imamkan solat jenazah saya, tapi dia dulu yang pergi'

Iklan
Anggota bomba ketika usaha mencari mangsa di tali air Kampung Padang Lati pada Selasa. Gambar kecil: Syamil

KOTA BHARU - Remaja yang ditemui lemas di tali air di Kampung Padang Lati petang tadi, Syamil Saniran, 15, pernah berjanji akan mengimamkan solat jenazah ibu saudaranya.

Sabariah Mat Yusoh, 55, berkata, dia selalu berseloroh mengenai perkara itu supaya anak saudaranya belajar bersungguh-sungguh dan dapat khatam al-Quran.

Iklan
Iklan

"Sebelum ini saya selalu berseloroh dengan arwah yang dia akan mengimamkan solat jenazah bila saya sudah tiada nanti, tapi dia dulu yang pergi meninggalkan kami," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada Selasa.

Menurut Sabariah, anak saudaranya yang sedang belajar di sebuah pusat pengajian pondok di Bachok merupakan seorang yang ceria dan suka bergurau.

Iklan

"Kami memang rapat dan setiap kali pulang bercuti, dia akan datang ke rumah saya serta bercerita mengenai perkara menyeronokkan yang dipelajari," katanya.

Sabariah memberitahu, kali terakhir dia bertemu anak saudaranya itu sebulan yang lalu namun tiada sebarang perubahan malah dia sentiasa peramah seperti selalu.

Iklan

Kata Sabariah, sebelum kejadian dia dimaklumkan, anak ketiga daripada enam beradik itu keluar bersama dua rakannya yang juga pelajar dari pusat pengajian sama.

"Tiba-tiba saya diberitahu dia lemas dan kami semua reda dengan ketentuan ALLAH SWT," katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang remaja ditemukan lemas kira-kira jam 4.13 petang selepas dipercayai mandi di tali air.

Mangsa ditemukan pada kedalaman tiga meter selepas satu jam pencarian.