MESKIPUN dalam jadual kerja yang padat, pelakon dan penyanyi, Fattah Amin sempat ‘mencuri masa’ menunaikan ibadah umrah bersama keluarganya.
Memilih Makkah untuk menenangkan diri, Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 34, berlepas ke Tanah Suci bersama kedua ibu bapa dan tiga adik perempuannya pada Selasa.
"Assalamualaikum semua...doakan perjalanan kami sekeluarga menjalani ibadah umrah dipermudahkan, dilindungi serta mendapat umrah yang mabrur. Insya-ALLAH," kata Fattah ringkas menerusi hantaran di Instagram.
Keluarga terbabit menunaikan ibadah umrah bersama agensi pelancongan, TMK Travel & Tours yang berlokasi di Star Avenue Shah Alam.
Pengarah Urusan TMK Travel & Tours, Nik Ikrami Omar dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berbesar hati dengan kepercayaan yang telah diberikan oleh Fattah dan keluarganya.
Katanya, Fattah sekeluarga akan menunaikan ibadah itu selama sembilan hari iaitu sehingga 3 Disember depan.
"Alhamdulillah TMK Travel & Tours diberi kepercayaan untuk bawa Fattah 'healing' di Tanah Suci dan kami sememangnya sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik tidak kira kepada mana-mana jemaah bagi mencipta kenangan terindah menunaikan ibadah di Tanah Suci.
"TMK Travel & Tours bukan sekadar nak jemaah pergi mengerjakan umrah dan balik macam biasa tetapi nak sesuatu yang luar biasa iaitu berusaha memastikan jemaah melaksanakan ibadah mengikut sunnah serta menghayati sirah," katanya.
Sebelum ini Fattah yang juga pelakon filem epik Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dilaporkan bersyukur kerana rezekinya semakin bertambah dan jadual kerjayanya penuh sehingga Februari tahun depan.
Fattah ketika ini mencipta fenomena apabila kemunculannya sentiasa menjadi tumpuan peminat dunia seni tanah air.
Kemunculan pertama kalinya di TikTok pada pertengahan Oktober lalu mencetuskan fenomena berkenaan apabila berjaya meraih sebanyak 100,000 tontonan dan memperoleh 44 juta tanda suka sepanjang tiga jam bersiaran.