Caj hospital swasta meningkat, KKM akan bawa pendekatan perkhidmatan berasaskan nilai

Iklan
Dr Dzulkefly bercakap pada Sesi Penggulungan Peringkat Jawatankuasa Belanjawan 2025 pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad akan membawa pendekatan perkhidmatan kesihatan berasaskan nilai bagi menangani isu caj hospital swasta yang dilaporkan semakin meningkat.

Beliau berkata, di bawah pendekatan itu pesakit membayar berdasarkan kualiti perkhidmatan berbanding pendekatan fee-for-service yang mengenakan caj terhadap perkhidmatan yang diberikan.

Iklan
Iklan

"Kalau fee-for-service bermakna jika seseorang itu mempunyai insurans, datang dengan apa pun penyakitnya selama ia (hospital) boleh mengenakan pelbagai ujian, prosedur dan sebagainya, maka itulah jumlah (bayaran) yang akan dikenakan.

"Perkhidmatan kesihatan berdasarkan nilai...contohnya dia pesakit hernia kalau hospital itu cekap, efisien, maka ia (hospital) akan mengenakan bayaran hanya kepada satu prosedur yang namanya herniorrhaphy,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan (KKM) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Isu peningkatan caj hospital dan insurans perubatan yang melambung tinggi dibangkitkan beberapa ahli Parlimen yang meminta KKM untuk mengawal perkara berkenaan.

Iklan

Dr Dzulkefly berkata, di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586), KKM hanya berkuasa mengawal yuran konsultasi yang dikenakan pakar perubatan tetapi tidak berkuasa untuk menentukan caj lain yang dikenakan pengendali hospital swasta.

Terdahulu, pada awal penggulungannya Dzulkefly sebak ketika menyentuh isu dibangkitkan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) mengenai terdapat pesakit yang meninggal dunia kerana terbeban dengan kos rawatan kesihatan dan pengangkutan untuk berulang alik ke hospital.

"Saya teringat akan mantera atau prinsip leave no one left behind (tiada siapa yang tertinggal) untuk mencapai Liputan Kesihatan Sejagat (UHC). Adalah menjadi cita-cita setiap menteri kesihatan untuk mengangkat prinsip ini," katanya. - Bernama