Imigresen, polis gempur Flat Pandan Mewah

Iklan
Antara warga asing yang diperiksa dalam operasi bersepadu di Flat Pandan Mewah pada Selasa.

PANDAN INDAH - Tinggal bersendirian menjadi alasan seorang lelaki warga tempatan cuba menyembunyikan rakan penyewa warga asing di sebuah unit Flat Pandan Mewah di sini pada Selasa.

Lelaki berusia 60-an itu mendakwa tinggal berseorangan kerana semua rakan serumahnya belum pulang ke rumah.

Iklan
Iklan

Siasatan lanjut anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor bagaimanapun menemui seorang wanita warga asing bersembunyi dalam salah satu bilik di kediaman berkenaan.

Wanita berusia 40-an itu kemudian telah ditahan untuk tindakan selanjutnya.

Iklan

Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, pihaknya telah membuat pemeriksaan ke atas 400 warga asing di kawasan kediaman itu.

"Seramai 119 warga asing berusia 18 tahun hingga 50 tahun ditahan terdiri warga Myanmar, Indonesia, Bangladesh, Nepal dan India.

Iklan

"Kesemua warga asing itu ditahan dan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1) (c) akta sama," katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan pada Selasa.

Khairrul Aminus berkata, seramai 314 anggota dan pegawai daripada JIM serta kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) terlibat dalam operasi bermula jam 6 petang hingga 11 malam.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada media kerana memberi makluman kehadiran ramai pendatang tanpa izin (PATI) kepada JIM.

"Kita telah membuat risikan dalam tempoh seminggu dan tidak sampai sebulan tindakan operasi dilaksanakan," katanya.

Seramai 314 anggota dan pegawai JIM bersama PDRM, Jabatan Pendaftaran Negara dan MPAJ terlibat dalam operasi itu yang bermula jam 6 petang hingga 11 malam Selasa.

Beliau berkata, JIM akan mengesan pemilik yang menyewakan kediaman kepada warga asing bagi membantu siasatan.

"Kita akan melaksanakan operasi penguatkuasaan sebegini di sekitar Selangor secara berterusan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Penguatkuasa MPAJ, Muhammad Farhan Hakim Mohd Ropi berkata, pihaknya telah menyita barangan di dua buah kedai yang disyaki menggajikan warga asing tanpa permit.

"Kita juga tidak menolak kemungkinan ada peniaga yang 'ali baba' lesen mereka kepada warga asing," katanya.

Terdahulu, penduduk Pandan Mewah di sini meluahkan rasa kecewa dan sedih apabila isu lambakan warga asing dipercayai tidak mempunyai dokumen sah selain pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) tidak dapat ditangani dengan berkesan.

Berikutan itu, wartawan Sinar Harian telah membuat tinjauan di kawasan penempatan itu bagi memastikan dakwaan terbabit.

Tinjauan mendapati, penempatan itu merangkumi 12 blok selain terdapat beberapa premis perniagaan termasuk kedai makan, kedai runcit dan kedai cuci kenderaan.

Kawasan itu turut dilengkapi dengan padang permainan, namun tinjauan mendapati lokasi itu ibarat dikuasai warga asing terutama pada waktu petang seawal jam 5 petang.

Ada yang berniaga pakaian, makanan dan peralatan dapur seperti pinggan, periuk dan mangkuk.

Lebih 'menakutkan', biarpun dipercayai ada antara warga asing itu yang tidak memiliki dokumen sah, mereka seperti bebas bergerak selain bekerja di premis kedai dan menjual barangan di kaki lima.