SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membantah keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menambah waktu kerja jururawat dari 42 jam kepada 45 jam seminggu, berkuat kuasa 1 Disember ini.
Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, keputusan itu seolah-olah dibuat tanpa perbincangan mencukupi dengan pihak berkepentingan utama seperti Kesatuan Jururawat Malaysia (MNU) yang mewakili suara jururawat secara langsung.
Menurut beliau, pihaknya memandang serius ketiadaan dialog menyeluruh dengan badan profesional seperti MNU kerana langkah sedemikian mampu melemahkan pendekatan kolaboratif yang diperlukan untuk merangka dasar lebih adil dan sesuai mengikut realiti lapangan.
"Penambahan waktu tanpa menangani cabaran sedia ada berpotensi meningkatkan tekanan dan keletihan serta mengurangkan kepuasan kerja jururawat.
"Kebajikan mental jururawat yang terganggu akibat beban kerja melampau juga boleh memberi kesan negatif kepada kualiti rawatan.
"Jika jururawat mengalami tekanan mental atau keletihan, ia boleh meningkatkan risiko kesilapan dalam penjagaan pesakit sekali gus menjejaskan keselamatan dan kesihatan mereka," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, dilaporkan keputusan menambah jumlah waktu bekerja itu dinyatakan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 berkaitan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Pekeliling tersebut menyatakan jumlah jam kerja bagi waktu bekerja bukan pejabat ditambah baik dengan menyamakan waktu bekerja pejabat iaitu 45 jam seminggu berbanding 42 jam termasuk rehat.
Mohd Effendy berpandangan, waktu kerja lebih panjang mungkin mendorong jururawat untuk mencari peluang pekerjaan di tempat lain dan ia boleh memburukkan keadaan seperti kekurangan kakitangan dalam sektor kesihatan.
Justeru, katanya, MTUC menyeru kerajaan untuk mengadakan perbincangan dengan MNU dan pihak berkepentingan lain bagi menilai semula keputusan terbabit.
Jelas beliau, ia amat penting bagi merangka penyelesaian yang mengimbangi keperluan operasi dengan kebajikan pekerja kesihatan.
"MTUC juga cadang melaksanakan kajian komprehensif terhadap keadaan jururawat termasuk beban kerja, ganjaran dan sistem sokongan bagi memastikan mereka bermotivasi serta mempunyai tahap kesejahteraan mental yang baik.
"Jururawat merupakan tulang belakang sistem penjagaan kesihatan negara dan kebajikan mereka tidak boleh dikompromi demi memastikan kualiti perkhidmatan kepada rakyat," ujarnya.