TOKYO - Tiada negara yang lebih terkenal dengan fesyen pelik daripada Jepun.
Baru-baru ini tular satu lagi fesyen pelik mengenai solekan remaja Jepun yang mengenakan gam cecair panas yang seakan-akan titisan air mata pada wajah mereka.
Walaupun trend ini menjadi ikutan meluas, ia turut mendapat kritikan di Jepun dan China yang menggelar ia sebagai 'tidak masuk akal' kerana dilihat seperti cecair hingus keras melekat di bahagian pipi mereka.
Menurut rancangan Jepun Ninosan, gaya yang dikenali sebagai 'solekan titisan air mata 3D' telah menarik perhatian gadis sekolah menengah Jepun untuk meniru atau mencubanya.
Difahamkan gaya ini memerlukan penggunaan gam panas yang dicairkan dan kemudian dibentuk seperti air mata mengalir di pipi.
Ia seolah-olah menunjukkan mereka meraih simpati atau sedang menangis.
AMF, sebuah firma Jepun yang mengkhusus dalam mempromosikan barisan produk untuk pelajar, telah menyatakan bahawa trend dalam kalangan remaja sekolah menengah di Jepun berubah dengan cepat, biasanya berlangsung hanya dua minggu hingga sebulan.
Katanya, remaja ini gemar bereksperimen dengan gaya berbeza yang kemudian berswafoto dan berkongsi di platform media sosial seperti Twitter dan Instagram.
Kaedah ini secara tidak langsung telah membawa kepada peningkatan trend yang menggunakan bahan mampu milik untuk menghasilkan hiasan unik, mencipta gaya asli bagi menarik perhatian netizen.
Akibat trend semakin tular ini, gam cair panas ini mengalami kehabisan stok dengan cepat di seluruh Jepun. - Agensi