PABM perkuat skuad buru emas Sukan SEA 2025

Iklan
PABM memberi kepercayaan penuh kepada jurulatih tempatan untuk melahirkan badang hebat apabila mengekalkan Edmund Teo sebagai jurulatih dalam misi memburu emas Sukan SEA Thailand 2025.

PERSEKUTUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) memberi kepercayaan penuh kepada jurulatih tempatan untuk melahirkan badang hebat apabila mengekalkan Edmund Teo sebagai jurulatih dalam misi memburu emas Sukan SEA Thailand 2025.

Naib Presidennya, Amirul Hamizan Ibrahim berkata, statusnya sebagai jurulatih pinjaman dari Sarawak dinaik taraf sebagai pengendali tetap menerusi kontrak selama dua tahun bermula Januari 2025.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, PBAM sudah berbincang dengan Persatuan Angkat Berat Negeri Sarawak (PABNS) yang bersedia melepaskan jurulatih itu menyertai skuad negara dan ia sudah mendapat lampu hijau daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

"Alhamdulillah hari ini (Selasa) kita (MSN dan PABM) setuju dengan kontrak dan gaji baharu Edmund. Ia bermula 1 Januari 2025 untuk tempoh dua tahun.

Iklan

"Kita juga telah berbincang dengan persatuan (PABNS) dan tiada masalah untuk Sarawak lepaskan Edmund bersama pasukan negara.

"Malah atlet sudah selesa dengan Edmund dan kita kekalkan dia bersama pasukan,” katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja di MSN, Bukit Jalil pada Selasa.

Iklan

Sebagai rekod di bawah bimbingan Edmund, Aniq Kasdan dipisahkan dengan hanya satu kilogram (kg) untuk meraih pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 Ogos lalu.

Edmund akan dibantu oleh dua jurulatih, Norshah Rizal Ruslan dan Nur Jannah Batrisyah bagi mengemudi skuad negara yang dibarisi 17 atlet meliputi empat atlet berpengalaman, lapan (pelapis) dan lima (podium).

Amirul Hamizan menjelaskan bahawa kesemua atlet tersebut akan mula menjalani latihan pada Januari depan sebagai persiapan untuk mengharungi Sukan SEA tahun depan dan Sukan Komanwel 2026 di Glasgow.

Beliau berkata, sasaran kem angkat berat ialah memenangi pingat emas di Thailand selepas kali terakhir berjaya berbuat demikian pada 2005.

"Ia juga KPI (Indeks Prestasi Utama) buat Edmund. Harap tahun depan dengan sentuhan baharu impian emas dapat direalisasikan,” katanya.

Kali terakhir skuad angkat berat negara meraih emas Sukan SEA adalah pada 2005 di Filipina, apabila Che Mod Azrol Che Mat mengungguli kategori atas 105kg lelaki dengan angkatan keseluruhan 350kg.

Amirul Hamizan turut memaklumkan bahawa salah seorang daripada muka baharu yang diserapkan ke dalam skuad negara ialah badang Perlis, Muhammad Hafizuddin Roslin yang melakar sensasi apabila membaharui rekod kebangsaan sebanyak lapan kali.

Pencapaian tersebut dilakar pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 Ogos lepas.

"Dia terus diserap ke dalam program podium. Kesemua atlet baharu ini di bawah usia 23 tahun yang dipilih daripada kejohanan kebangsaan dan SUKMA,” katanya.