HARI ini Merak Jalanan yakin sebahagian besar kafe atau kantin di mana-mana premis pekerjaan masing-masing boleh dikatakan kurang mendapat sambutan daripada pelanggan harian berbanding hari biasa yang lain.
Sebahagian besar mereka boleh dikatakan memilih untuk makan di luar bukan kerana makanan dijual di dalam premis tidak menyelerakan tetapi ingin bertukar selera seketika.
Yalah, minggu inikan minggu dapat gaji buat pekerja, baik sektor awam atau swasta, kiranya dah boleh senyum lebar.
Jadi langkah menjadi sedikit panjang untuk beberapa ketika ini, hari ‘dapat gajikan’ mestilah ubah selera sikit makan di luar.
Tetapi mungkin bukan semua, mungkin ada juga yang mengekalkan rutin seperti biasa, hari gaji atau hari biasa sama saja. Berbelanja ikut kebiasaan, tiada di luar norma kehidupannya.
Sebenarnya berbelanja makan sama ada di dalam atau luar bukanlah menjadi kesalahan kepada mana-mana institusi atau syarikat asalkan pekerja tahu akan aturannya dan jeda masa rehat dibenarkan oleh majikan. Kenalah pandai uruskan masa agar tidak menjadi kesalahan.
Bercerita hal makan, Merak Jalanan ada kawan lelaki dan perempuan, apabila melihat mereka berbelanja hal makan sangat berbeza bagi kedua-dua gender ini.
Kalau lelaki sangat berselera makannya, umpama makan esok sudah tiada. Warung tepi jalan atau atas longkang pun tetap berselera, namun sebaliknya bagi wanita pula, amat berhati-hati dan cermat membuat pilihan.
Makanan dipilih pun adakalanya ‘sangat besar dan tinggi’, walaupun hidangan biasa-biasa janji di kafe berhawa dingin. Apabila hendak membayar, kaum hawa lebih mencapai persefahaman, bilnya asing-asing atau bayar kemudian kepada pembayar terdahulu. Berbeza lelaki, letak duit atas meja sahaja, siapa bangun bayar di kaunter, dia akan kaut untung dengan wang baki tadi.
Mudah sangat orang lelaki buat untung dengan duit kawan!