APA Khabar Rakyat kali ini melaporkan tentang nasib pekebun Zon Pengeluaran Makanan (ZPM) Sedili Kecil, Kota Tinggi, Johor yang menanggung kerugian besar susulan kemusnahan tanaman angkara gajah.
Keadaan menjadi semakin buruk apabila pokok kelapa pelbagai variati yang musnah itu sedang menunggu masa untuk dituai hasilnya.
Wartawan Sinar Harian, NOR AZURA MD AMIN menyelami masalah tersebut dan mendengar luahan hati pekebun terlibat.
Pekebun, Ramlai Ranyan, 63, berkata, kehadiran sekumpulan gajah di kebunnya dikesan sejak bulan lalu dan berlarutan hingga awal November.
Jelasnya, kerosakan dilakukan gajah itu bukan sahaja menyebabkan dia mengalami kerugian hampir RM250,000 malah turut mencetuskan rasa bimbang soal keselamatan dan modal untuk proses tanam semula pokok kelapa.
"Pokok kelapa yang ditanam di atas tanah seluas kira-kira lapan hektar dengan anggaran 2,000 pokok ini sudah mengeluarkan hasil sejak setahun lalu.
"Namun hampir 75 peratus kawasan kebun telah dirosakkan gajah. Haiwan liar ini dipercayai memakan pucuk dan umbut kelapa,” katanya.
Menurutnya, haiwan liar berkenaan dilaporkan semakin kerap ditemui di dalam kebun biarpun langkah berjaga-jaga seperti rondaan dan pemasangan pagar sudah dilakukan.
"Bermula jam 6 petang gajah mula memasuki kebun. Jumlahnya bukan empat hingga lima ekor tetapi banyak.
"Sejak 21 Oktober lalu, ada saja pokok yang dicabut dan dirosakkan. Jika berterusan begini habis punca rezeki kami,” katanya.
Jelasnya, hal tersebut memberi tekanan kepada dirinya kerana kos menanam pokok kelapa mencecah lebih RM70 sebatang tidak termasuk modal untuk membuat pagar dan baja.
Pekebun lain, Nazarudin Jamil, 25, meluahkan rasa sedih apabila 300 batang pokok kelapa di kebunnya dirosakkan gajah sedangkan tanaman tersebut sepatutnya mengeluarkan hasil pada tahun hadapan.
Selain pokok kelapa katanya, dia turut menanam pisang dan nanas, namun turut dirosakkan oleh haiwan liar berkenaan yang memasuki kebunnya.
"Bukan mudah nak jaga pokok ini dari kecil hingga keluarkan hasil. Tambahan pula pekebun perlu keluarkan pelbagai kos yang bukan murah harganya.
"Apabila lihat pokok kelapa dalam kebun rosak, hilang semangat dan sedih,” katanya.
Justeru Nazarudin berharap kerajaan sudi memberikan bantuan kepada pekebun yang terjejas angkara haiwan liar yang tidak diundang itu.
Ini kerana jelasnya pekebun yang terjejas telah mengusahakan projek ZPM itu sejak 2013.
INFO GAJAH DI JOHOR
- Terdapat di Segamat, Mersing, Kota Tinggi dan Kluang.
- Jumlahnya antara 120 hingga 160 ekor
- Laluan utama ialah Jalan Kahang-Jemaluang, Jalan Kota Tinggi-Mersing dan Jalan Kluang-Kota Tinggi