KOTA BHARU - Hujan berterusan sejak Selasa menyebabkan lapan daerah di negeri ini dilanda banjir menyebabkan seramai 1,338 mangsa telah dipindahkan ke 39 pusat pemindahan sementara (PPS) pada Rabu.
Daripada jumlah itu, Jeli merekodkan mangsa paling ramai iaitu 320 diikuti Pasir Mas (301), Kuala Krai (243), Pasir Puteh (197), Tanah Merah (143), Bachok (79), Kota Bharu (36) dan Machang (19).
Mengikut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mangsa yang dipindahkan melibatkan 927 dewasa, 383 kanak-kanak dan 28 bayi.
Sementara itu menurut public infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), lima sungai di negeri ini berada pada paras bahaya iaitu Sungai Melor, Jambatan Melor di Bachok, Sungai Lanas (Jeli), Sungai Semerak (Pasir Puteh), Sungai Golok, Jenob (Tanah Merah) dan Sungai Kelantan, Temangan (Machang).
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Mohd Adzhar Mujab berkata, keadaan cuaca yang agak kurang baik menyebabkan kawasan rendah mulai dinaiki air sejak malam tadi.
"Pihak kami serta anggota keselamatan yang lain seperti JBPM (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia), polis serta ramai lagi berganding bahu memastikan penduduk yang terkesan dipindahkan ke PPS dalam keadaan selamat.
"Kami juga ingin menasihatkan kepada orang ramai agar membuat persiapan awal serta mengikuti perkembangan semasa cuaca melalui portal-portal kerajaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh, Nur Atiqah Ab Rashid, 37, berkata, hujan lebat tanpa henti sejak Selasa menyebabkan dia serta suami terpaksa berpindah ke rumah mentua pada pagi ini kerana air telah melimpah ke dalam rumah sedalam 0.3 meter.
Menurutnya, sebelum ini air hanya di luar rumah tetapi sejak malam tadi sekitar jam 11 malam ia mulai memasuki dalam rumah.
"Lihat kepada keadaan sekarang hujan yang masih lebat, kami sedang bersiap sedia untuk pindah bila-bila masa sahaja," katanya.