WASHINGTON - Israel dan Lubnan telah menerima perjanjian gencatan senjata untuk menamatkan pertempuran dengan pasukan pejuang Hizbullah, kata Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.
Perjanjian itu, kata beliau, akan berkuat kuasa mulai 4 pagi Rabu (waktu tempatan).
"Di bawah perjanjian yang dicapai hari ini, berkuat kuasa 4 pagi esok waktu tempatan, pertempuran merentasi sempadan Lubnan-Israel akan berakhir... perjanjian ini dicapai untuk menghentikan permusuhan secara kekal,” kata Biden semasa menyampaikan perkembangan terbaharu konflik di Lubnan dari White House, hari ini.
"Dalam tempoh 60 hari akan datang, Israel akan secara beransur-ansur menarik pasukan dan orang awam yang masih tinggal - orang awam di kedua-dua pihak tidak lama lagi akan dapat selamat kembali ke komuniti mereka dan mula membina semula kediaman mereka,” kata Biden.
Presiden AS itu merumuskan, pengumuman gencatan senjata yang terbaharu itu merupakan langkah penting ke arah mencapai keamanan dan kemakmuran di Asia Barat.
Dalam masa sama, Biden memuji keputusan yang dibuat oleh pemimpin Lubnan dan Israel untuk menamatkan keganasan.
Perjanjian gencatan senjata ini memerlukan tentera Israel untuk berundur dari selatan Lubnan, manakala tentera Lubnan akan dikerahkan di kawasan tersebut.
Di bawah perjanjian ini juga, Hizbullah perlu menamatkan kehadiran bersenjata mereka di sepanjang sempadan selatan Sungai Litani.
Menteri Luar Lubnan, Abdallah Bou Habib berkata, tentera negara itu bersedia mengerahkan sekurang-kurangnya 5,000 anggota di selatan Lubnan sebaik sahaja tentera Israel berundur.
Beliau juga menyatakan, AS mungkin memainkan peranan dalam membangunkan semula infrastruktur yang musnah akibat serangan udara Israel. - Agensi-Awani