KUALA LUMPUR - Seorang pengurus kilang kerugian RM1.1 juta akibat ditipu sindiket ‘phone scam’ selepas menerima panggilan kononnya dari Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) pada 19 September lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket mendakwa nombor telefon dan akaun bank mangsa digunakan dalam kegiatan pengubahan wang haram di Kuching, Sarawak.
"Mangsa iaitu seorang wanita berusia 55 tahun cuba menafikan pembabitannya dalam kes itu, namun sindiket berjaya memperdaya mangsa untuk mengikut segala arahan yang diberikan kononnya bagi tujuan siasatan.
"Mangsa memaklumkan dia diarahkan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak kerana kejadian itu kononnya berlaku di sana," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
"Wanita itu turut menerima panggilan daripada individu mendakwa sebagai ‘Tuan Zaki’ dan diarahkan memindahkan wang miliknya ke akaun yang kononnya untuk tujuan siasatan.
"Sekiranya enggan, mangsa diugut akan ditahan dan dihadapkan ke mahkamah. Mangsa juga ditegah menceritakan perkara ini kepada orang lain," ujarnya.
Beliau berkata, mangsa membuat 34 pindahan wang ke sembilan akaun berbeza bermula 24 September hingga 5 November lalu membabitkan jumlah keseluruhan RM1.1 juta kerana bimbang dengan ugutan itu.
"Mangsa hanya menyedari dirinya tertipu selepas memberitahu kejadian itu kepada suaminya sebelum membuat satu laporan polis di Perai, Pulau Pinang pada 11 November lalu,” katanya.
Ramli berkata melalui kes ini, dapat dilihat bagaimana pihak sindiket secara berterusan memberi tekanan kepada mangsa.
"Taktik itu digunakan untuk mengawal mangsa agar terus berada dalam ketakutan dan menyekat mereka dari berfikir secara rasional," katanya.
Beliau berkata, mangsa yang gagal berfikir secara rasional akan cenderung untuk mengikut apa juga arahan yang diberikan sehingga akhirnya mengakibatkan kerugian.
"Masyarakat perlu tahu bahawa laporan polis tidak boleh dibuat melalui panggilan telefon dan siasatan juga tidak dijalankan melalui panggilan telefon," katanya.