Kantin sekolah boleh bincang dengan ibu bapa untuk naik harga

Iklan
Fadhlina pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Isnin. Foto Bernama

SHAH ALAM - Pengusaha kantin sekolah boleh mengadakan perbincangan dengan pihak sekolah serta wakil Persatuan Ibu Bapa-Guru (PIBG) untuk mendapatkan persetujuan sebelum menaikkan harga jualan makanan di kantin sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, namun pengusaha kantin tertakluk kepada perjanjian tender yang mereka tandatangani dengan pihak sekolah dan tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan harga jualan.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan buku Panduan Pengurusan Kantin Sekolah Sihat yang terkini terbitan tahun 2011, adalah menjadi tanggungjawab pihak pengetua atau guru besar memastikan pengusaha kantin menjual makanan mengikut senarai barang-barang makanan dan minuman yang terdapat dalam sebut harga.

"Dalam Perjanjian Penyewaan dan Pengurusan Kantin Sekolah yang ditandatangani oleh pihak sekolah (mewakili kerajaan) dengan pengusaha kantin sekolah pula, pihak pengusaha kantin sekolah hendaklah memastikan penjualan makanan dan minuman di kantin sekolah adalah pada harga yang berpatutan sebagaimana yang dipersetujui oleh pihak sekolah,” katanya.

Iklan

Ahli Parlimen Nibong Tebal itu menegaskan, KPM sentiasa peka dan prihatin terhadap nasib pengusaha kantin sekolah dan mengambil maklum mengenai kenaikan harga barang serta peningkatan kos bahan mentah yang memberi kesan kepada pengusaha kantin sekolah.

Menurutnya, bagi mengurangkan beban yang ditanggung pengusaha kantin akibat kenaikan harga barang dan peningkatan kos bahan mentah, kerajaan dan KPM khasnya telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu pengusaha kantin sekolah.

Iklan

Kata beliau, antaranya ialah pemberian bantuan sebanyak RM1,500 kepada pengusaha kantin sekolah bawah KPM pada tahun 2020 dan pengecualian pembayaran sewaan kantin sekolah bawah KPM bagi bulan Mac 2020 hingga November 2020.

"Turut diberi pengecualian pembayaran sewaan kantin sekolah bawah KPM bagi Januari 2021 hingga Disember 2021 dan bantuan RM1,000 kepada pengusaha kantin sekolah melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) pada 2021.

"Selain itu, kerajaan memberikan penyambungan kontrak sewaan kantin secara automatik untuk tempoh satu tahun bagi kontrak asal yang tamat pada tahun 2021 dan 2022 serta pengecualian sewaan kantin bagi tempoh 11 bulan bermula Januari 2022 hingga November 2022,” tambahnya.

Fadhlina memberitahu, kerajaan juga membuat pengecualian sewaan kantin dan premis atau ruang di sekolah-sekolah KPM selama tiga bulan bermula 1 Januari 2023 hingga 31 Mac 2023 melalui surat pemakluman rujukan ΚΡΜ.200/4/2/1/Jld.22 (96) bertarikh 4 Januari 2023.

Katanya, inisiatif-inisiatif itu tanda keprihatinan KPM dalam konteks membantu meringankan beban pengusaha kantin akibat kenaikan harga semasa bahan mentah dan membantu mereka menyusun semula perniagaan selepas pandemik Covid-19.

"KPM percaya dengan inisiatif ini dapat membantu pengusaha-pengusaha kantin menyusun semula strategi perniagaan dan menjana pendapatan mereka,” ujarnya.