KUANTAN - Hasrat seorang lelaki untuk menikmati keuntungan lebih RM7 juta hasil pelaburan disertai lebur sebaliknya menanggung kerugian lebih RM0.5 juta gara-gara terpedaya dengan pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 56 tahun mendakwa mendapat keuntungan RM7,772,858 namun menyedari ditipu setelah mendapati wang hasil keuntungan pelaburan itu tidak dapat dikeluarkan malah aplikasi pelaburan berkenaan juga telah dipadamkan.
Menurutnya, mangsa terpedaya dengan pelaburan tidak wujud melalui aplikasi Facebook yang menawarkan pulangan lumayan dan mula menyertainya pada awal Oktober lalu.
"Mangsa diberi pautan untuk mengisi maklumat peribadi untuk urusan pelaburan.
"Dalam tempoh 8 Oktober hingga 21 November lalu, mangsa telah membuat 15 transaksi pembelian saham melalui aplikasi tersebut dengan jumlah keseluruhan RM577,000," katanya melalui kenyataan pada Rabu.
Yahaya berkata, selepas bayaran pelaburan dibuat, mangsa telah dihubungi suspek memaklumkan tentang keuntungan lebih RM7 juta itu.
"Mangsa teruja dan berhasrat untuk mengeluarkan wang tersebut namun mendapati ia tidak dapat dikeluarkan apabila aplikasi pelaburan berkenaan telah dipadamkan.
"Ekoran kejadian, mangsa tampil membuat laporan polis di sebuah balai di Kuantan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Menurutnya lagi, mangsa menggunakan wang simpanan dan hasil caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk modal pelaburan itu.
Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan agar membuat semakan sebelum membuat sebarang pelaburan atas talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
"Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan.
"Buat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," ujarnya.