Kerajaan benarkan pertindihan bantuan kebajikan pelbagai agensi

Iklan
Nancy Shukri

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak menghalang sebarang pertindihan bantuan kebajikan daripada pelbagai agensi kepada keluarga yang berada di bawah garis kemiskinan, mahupun individu yang layak menerima bantuan berdasarkan kategori sedia ada.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri berkata, ini kerana, setiap bantuan yang diterima dapat membantu menampung keperluan golongan memerlukan.

Iklan
Iklan

"Sebab itu kalau dilihat, walaupun mungkin (bantuan) tak cukup, tapi kita lihat sudut berapa orang anaknya, apa kategori mereka yang ada dalam keluarga itu...si ibu mungkin warga emas, kita beri bantuan lain.

"Walaupun ketua keluarga memang menerima bantuan, kita juga benarkan anaknya OKU (orang kurang upaya) dapat bantuan itu.

Iklan

"(Jadi) Kita benarkan sesiapa sahaja mendapat bantuan kerana boleh ringankan beban mereka,"katanya ketika Sesi Pertanyaan Jawab Lisan, di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) yang bertanya adakah kerajaan bercadang menubuhkan satu hub bagi menyelaraskan pelbagai jenis bantuan kebajikan daripada pelbagai agensi dengan baik, demi mengelakkan pertindihan mahupun keciciran, selain memudahkan bantuan menyeluruh diberikan kepada keluarga miskin.

Iklan

Nancy menjelaskan, kerajaan maklum berhubung bantuan yang disalurkan pelbagai agensi selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun belum ada perancangan berkenaan hal tersebut setakat ini.

"Setakat ini belum ada perancangan itu..kerana kita membiarkan. Kita tahu selain bantuan kebajikan JKM, ada zakat, dan lain-lain yang memberi bantuan.

"Jadi kita membenarkan itu berlaku supaya ia boleh membantu. Sebab apa yang saya lihat pada masa ini, mungkin ada yang kata bantuan tak mencukupi terutamanya mereka yang ada di bandar,"katanya.

Sementara itu, menjawab mengenai sama ada kementerian mempunyai rancangan untuk menaikkan siling bagi pendapatan isi rumah pemohon bantuan JKM, Nancy berkata, mulai Januari 2024, JKM telah mula mengguna pakai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang baharu iaitu PGK 2022 dengan nilai ambang RM1,198.

Namun tegas beliau, PGK bukan merupakan satu-satunya ukuran atau penilaian tunggal dalam mempertimbangkan setiap permohonan kebajikan.

"Dalam proses semakan semula dan pengemaskinian PGK 2022 ini, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) iaitu agensi di bawah seliaan Kementerian Ekonomi, telah melaksanakannya bersekali dengan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (Household Income and Expenditure - HIES) dan Survei Kemudahan Asas (BA).

"JKM mengamalkan means test dalam menilai setiap permohonan bantuan kebajikan agar setiap kes dikendalikan dengan mengambil kira keadaan sebenar serta gambaran yang lebih meluas seperti faktor ekonomi, lokaliti keupayaan (OKU, pesakit terlantar) dan sebagainya; dan bukannya hanya melihat dari segi jumlah pendapatan mereka semata-mata," katanya.