Najib, Irwan Serigar lepas tanpa bebas kes IPIC

Iklan
Najib (kiri) dan Irwan Serigar dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, daripada enam tuduhan pecah amanah membabitkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan tidak memenuhi sepenuhnya Kanun Tatacara Jenayah.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, faktor kedua perintah itu diberi kerana DNAA tidak memprejudiskan kes pendakwaan yang mana pendakwaan boleh menuduh kedua-dua tertuduh semula.

"Ketiga, kes ini didaftarkan pada tahun 2018 namun perbicaraan tidak dapat diteruskan walaupun tarikh perbicaraan telah ditetapkan beberapa kali kerana pendakwaan tak memenuhi sepenuhnya peruntukan Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Iklan

"Ini merupakan suatu kelewatan melampau maka permohonan Najib selaku tertuduh pertama dan Mohd Irwan tertuduh kedua dalam notis usul dibenarkan.

"Oleh itu, tertuduh pertama dan kedua dilepaskan tanpa dibebaskan daripada keenam-enam pertuduhan, wang jamin dikembalikan kepada penjamin," katanya.

Iklan

Pada 24 Oktober 2018, Najib, 71, dan Mohd Irwan, 67, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

AKAN MENYUSUL