Pilkada 2024: 207.1 juta rakyat Indonesia dijangka keluar mengundi

Iklan
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menunjukkan kertas undi di Bogor, Jawa Barat pada Selasa. Foto AFP

JAKARTA - Seramai 207.1 juta pengundi dijangka keluar mengundi pada Pilihan Raya Serentak (Pilkada) 2024 di Indonesia pada Rabu, yang bakal menentukan kepimpinan di 545 kawasan meliputi 37 wilayah, 415 daerah dan 93 bandar.

Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) melaporkan bahawa jumlah pengundi antara lelaki dan Wanita hampir seimbang, dengan 103.2 juta lelaki dan 103.9 juta wanita layak memilih pemimpin wilayah termasuk gabenor, bupati dan datuk bandar atau wali kota.

Iklan
Iklan

Sebanyak 435,296 pusat pengundian disediakan di seluruh negara bagi memastikan kelancaran proses pengundian.

Di Sumatera Utara, persaingan sengit berlaku antara Bobby Nasution, datuk bandar Medan dan menantu bekas Presiden Joko Widodo, yang bergandingan dengan Surya, serta Edy Rahmayadi yang bekerjasama dengan Hasan Basri.

Iklan

Sementara itu, di Jawa Tengah menyaksikan saingan antara Andika Perkasa, bekas jeneral bintang empat yang disokong PDIP, bersama Hendrar Prihadi, bekas datuk bandar Semarang dengan Ahmad Luthfi, bekas ketua Polis Jawa Tengah dan Taj Yasin Maimoen.

PDIP atau Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan dipimpin oleh pengerusinya, Megawati Sukarnoputri.

Iklan

Di Jakarta, yang dianggap sebagai medan strategik, bekas Gabenor Jawa Barat Ridwan Kamil bertanding bersama Suswono, manakala Pramono Anung disokong oleh Rano Karno.

Kerajaan Indonesia memperuntukkan Rp 28.76 trilion (AS$1.8 bilion) bagi proses pilihan raya kali ini, manakala Badan Pengawas Pemilu (Bawaslu) menerima peruntukan sebanyak Rp 8.63 trilion (AS$540 juta) untuk memastikan integriti dan kelancaran pilihan raya. - Bernama