Kawasan flat lubuk PATI dalam radar imigresen

Iklan
Jafri (tengah) ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat Baharu Imigresen Cawangan Kuala Langat di Banting pada Rabu.

BANTING - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mempunyai senarai lokasi panas termasuk kawasan flat yang menjadi lubuk pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara untuk terus digempur.

Tanpa mendedahkan lokasi terbabit, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan.

Iklan
Iklan

Katanya, kerjasama ini bagi membasmi koloni PATI di kawasan terbabit.

"Operasi-operasi berskala kecil dan sederhana dijalankan setiap hari oleh JIM, tetapi operasi berskala besar melibatkan agensi penguat kuasa lain juga tetap dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Iklan

"JIM ada senarai hotspot ini dan kita tahu di mana PATI. Kita akan susun dan tidak akan berhenti kerana kehadiran kami sangat penting," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat Baharu Imigresen Cawangan Kuala Langat di sini pada Rabu.

Turut hadir, Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin.

Iklan

Dalam pada itu, Jafri turut tidak menafikan akan ada operasi berskala besar di lokasi lain.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan operasi bersepadu JIM bersama PDRM, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Flat Pandan Mewah, Ampang berjaya menahan 119 warga asing.

Mereka yang ditahan berusia 18 tahun hingga 50 tahun ditahan terdiri daripada warga Myanmar, Indonesia, Bangladesh, Nepal dan India.

Sinar Harian pada 28 Oktober lalu melaporkan mengenai penduduk tempatan di Pandan Mewah yang meluahkan rasa kecewa dan sedih apabila isu lambakan warga asing dipercayai tidak mempunyai dokumen sah selain pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) tidak dapat ditangani dengan berkesan.