BIARPUN segelintir pihak mempersoalkan pemberian gelaran Biduanita Negara kepadanya, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin lebih memilih untuk tidak mengendahkan sebarang kecaman negatif.
Menganggap anugerah itu sebagai antara pengiktirafan terbesar dalam kerjaya seninya, penyanyi berusia 45 tahun itu mahu lebih fokus kepada perjalanan kerjaya seninya serta berazam untuk terus memberikan yang terbaik kepada industri seni tanah air.
"Bagi saya, perkara (kecaman) itu normal dalam hidup saya sebagai seorang selebriti, tetapi orang biasa pun akan mengalami situasi sama. Ada yang puas hati, ada yang tidak. Jadi, biarkanlah, orang nak cakap apa, cakaplah apa pun.
"Saya bersyukur di atas penganugerahan ini. Anugerah ini datang dengan tanggungjawab besar... kerja-kerja yang perlu dibuat dengan baik. Kalau tidak dapat anugerah pun, saya tetap melakukannya dengan terbaik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Media dan pelancaran rasmi single terbaharunya, Sejarah, di Kuala Lumpur pada Selasa.
Pada 13 November lepas, Siti Nurhaliza dianugerahkan gelaran Biduanita Negara di Anugerah Seni Negara 2024, menjadikannya wanita ketiga yang menerima penghormatan itu selepas Allahyarhamah Saloma dan Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini.
Meskipun bersyukur dengan penghormatan yang diberikan, penyanyi nombor satu negara itu mengakui kekok dengan gelaran tersebut dan lebih selesa dipanggil dengan namanya sendiri, Siti Nurhaliza.
Bukan tidak menghargai, sebaliknya pelantun lagu Kesilapanku Keegoanmu ini menyifatkan anugerah adalah perkara kedua selepas bekerja keras.
"... panggil saya Siti Nurhaliza. Ia (Biduanita Negara) tidak mengubah Siti Nurhaliza seperti mana yang anda kenal. Saya tetap Siti Nurhaliza yang balik ke rumah kena buat susu anak, memasak dan menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dan menguruskan rumah tangga. Saya tetap masih menjual barang di TikTok, dan buat semua yang orang lain buat kerana itu adalah tanggungjawab.
"Anugerah adalah satu penghargaan dan saya bersyukur sangat tetapi itu bukan perkara pertama yang saya fikir bila saya jadi artis. Benda pertama dalam fikiran saya adalah memberi yang terbaik supaya peminat dan penggemar muzik saya terhibur dan ini membuatkan hati saya senang,” katanya.
Beliau berkata setiap individu perlu berusaha keras dan sentiasa berikhtiar memperbaiki diri selain menjaga hubungan yang baik dengan pihak yang boleh membantu meningkatkan kerjaya bagi mencapai impian dan keinginan masing-masing.
"Anak muda atau artis yang ingin mengejar mimpi setinggi manapun, ia perlu datang bersama usaha. Jangan mudah puas atau berasa bagus tetapi sentiasa belajar untuk memperbaiki kekurangan dan kalau ada artis baharu yang lebih bagus, tidak salah untuk kita belajar dan berkolaborasi dengan mereka,” katanya sambil mengakui tidak pernah mengimpikan untuk menerima anugerah Biduanita Negara.
Sementara itu, bercerita mengenai single terbaharunya, anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu berkata, lagu Sejarah mempunyai signifikan tersendiri dalam kariernya selepas berkecimpung dalam industri muzik sejak hampir tiga dekad.
Lebih istimewa, lagu itu merupakan ciptaan maestro muzik dari Indonesia, Erwin Gutawa bersama anak perempuannya, Gita Gutawa selaku penulis lirik serta menggunakan khidmat Czech Symphony Orchestra.
"Lagu ini dicipta khas untuk saya dan liriknya juga menggambarkan perjalanan tentang diri saya sebagai anak seni dari mula sehingga hari ini. Saya sangat berterima kasih kepada Erwin Gutawa yang sudi menghasilkan sebuah lagu yang sangat menyentuh emosi saya apabila menyanyikannya.
"Lagu ini seperti saya berada dalam semua fasa perjalanan seni dan satu persatu memori terbayang sewaktu menyampaikannya,” katanya yang turut berterima kasih kepada Aubrey Suwito yang membantu proses rakaman vokal lagu itu di Kuala Lumpur.
Pada masa sama, Siti Nurhaliza turut memasang impian untuk mengadakan konsert tradisional berskala besar selepas kali terakhir melakukannya menerusi Konsert Lentera Timur Datuk Siti Nurhaliza di Istana Budaya pada September 2013. - Bernama