KUALA LANGAT - Motif peribadi mengenai urusan perniagaan dipercayai menjadi punca sekumpulan 16 lelaki menyamun barangan kilang di Telok Panglima Garang di sini baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintenden Mohd Sufian Amin berkata, siasatan mendapati kumpulan suspek telah membayar RM400,000 untuk pembelian barangan logam kepada penyewa kilang warga China.
Katanya, bagaimanapun pengurusan kilang tersebut dikatakan gagal menyediakannya selepas menerima wang tersebut.
"Ia bermotifkan peribadi atas urusan perniagaan bernilai RM400,000 dan tidak berjaya diuruskan dengan baik oleh kilang terbabit.
"Suspek beranggapan pemilik menipunya sebelum mengambil tindakan sendiri. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat Baharu Imigresen Cawangan Kuala Langat di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Mohd Sufian menegaskan kejadian itu tidak melibatkan elemen kongsi gelap sebaliknya suspek yang ditahan adalah ajakan rakan kepada rakan yang lain.
Tegas beliau, dua warga China yang ditahan pula lebih berperanan sebagai jurubahasa ekoran dialek digunakan penyewa kilang itu selain pasport mereka juga masih sah.
Beliau turut memaklumkan salah seorang suspek yang memiliki parang telah dituduh mengikut Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Sinar Harian pada 20 November lalu melaporkan seramai 16 lelaki berusia 30 hingga 50 tahun termasuk dua warga China ditahan selepas terbabit dalam kes samun barangan kilang di Telok Panglima Garang di sini, 9 November lalu.
Dalam perkembangan berlainan, Mohd Sufian menjelaskan dendam menjadi punca seorang lelaki warga asing mati ditikam menggunakan pisau selepas bergelut di tepi jalan di Telok Panglima Garang di sini pada 19 November lalu.
"Berdasarkan siasatan terhadap tujuh individu yang ditahan reman sebelum ini turut menjerumus kepada suspek utama kes ini.
"Kita akan kesan dan tangkap suspek utama yang juga dipercayai warga asing dalam masa terdekat," katanya.