BUKIT MERTAJAM - Seorang kanak-kanak berusia 14 bulan memerlukan bantuan RM65,000 bagi membolehkannya menjalani pembedahan akibat masalah jantung berlubang.
Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Helena Mikayla Muhammad Hazzim Mu'az dari Padang Serai, Kedah disahkan menghidap penyakit itu selepas empat hari dilahirkan.
Menurutnya, Helena Mikayla pada awalnya dibenarkan pulang ke rumah dan tidak perlu mengambil ubat walaupun terdapat lubang sebesar 2.7 milimeter (mm), namun keadaannya kini semakin teruk.
"Semasa pemeriksaan susulan pada Oktober lepas, doktor memaklumkan bahawa lubang itu telah membesar kepada 7.3mm.
"Bagi mengelakkan ‘aortic regurgitation’ menjadi lebih teruk, doktor mengesyorkan kanak-kanak ini menjalani pembedahan membaiki lubang secepat mungkin.
"Pembedahan juga telah dijadualkan pada 10 Disember depan dan Helena Mikayla akan dimasukkan ke wad pada 9 Disember,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Sui Hau berkata, oleh kerana keluarga hanya mampu menampung kos sebanyak RM3,000, ibu bapa Helena Mikayla tampil memohon bantuan dana daripada badan amal tersebut yang akan dikumpul daripada orang ramai sebanyak RM65,000.
Katanya, bapa bayi, Muhammad Hazzim Mu'az Md Radazi, 24, bekerja sebagai penghantar barang dengan pendapatan tidak menentu dan ibu, Nur Syamimi Azizan, 24, seorang suri rumah.
"Pasangan itu juga mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia 2 tahun.
"Mereka memerlukan bantuan kerana tidak berkemampuan selain menanggung pelbagai komitmen bulanan seperti sewa rumah dan sebagainya,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun 3193433435 ) atau layari www.onehopecharity.org.