Kekosongan kerusi DUN Pujut: SPR akan ambil tindakan sewajarnya

Iklan
Azhar Azizan Harun

KUCHING - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil tindakan sewajarnya setelah mendapat pemakluman rasmi berhubung keperluan mengisi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kawasan Pujut berikutan penyandangnya dilucutkan kelayakan menyandangnya.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan hari ini berkata, pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak berkaitan kekosongan itu diperlukan berdasarkan peruntukan Perkara 21(5) Perlembagaan Negeri Sarawak.

Iklan
Iklan

"Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia mengambil maklum keputusan Mahkamah Persekutuan pada 11 Februari 2020 yang memutuskan bahawa Dr Ting Tiong Choon telah hilang kelayakan untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.74 Pujut,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada PRK Pujut, kata Speaker DUN Sarawak

Iklan

Tiong Choon hilang kelayakan sebagai ADUN Pujut

Dalam keputusan majoriti 7-2 melibatkan panel sembilan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat pada Selasa lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa DUN Sarawak membuat keputusan betul dalam melucutkan kelayakan Dr Tiong Choon sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Pujut berhubung statusnya memiliki dua kewarganegaraan.

Iklan

Dalam sidang media yang diadakan di sini pada hari yang sama keputusan mahkamah itu dibuat Speaker DUN Sarawak, Datuk Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, tiada keperluan baginya untuk menulis kepada SPR memaklumkan kekosongan kerusi berkenaan.

Menurutnya, pilihan raya kecil tidak akan diadakan bagi mengisi kekosongan itu memandangkan Perkara 21(5) Perlembagaan Negeri Sarawak turut menyatakan bahawa ia tidak perlu diisi jika berlaku pada tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh penggal DUN akan berakhir, iaitu pada Jun 2021.

Perkara 21(5) itu turut menyebut tentang keperluan mengadakan pilihan raya kecil jika speaker memberitahu SPR secara bertulis bahawa jumlah kekuatan parti yang menjadi majoriti ahli DUN terkesan oleh kekosongan tersebut.

"Keperluan untuk Speaker menulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya tidak timbul dan tanpa pemberitahuan itu, tidak (akan) ada pilihan raya kecil," kata Mohamad Asfia. - Bernama