Penduduk tumpang masjid, dakwa projek ECRL punca banjir teruk

Iklan
Penduduk di Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh mendakwa banjir teruk yang melanda berpunca daripada ECRL menyebabkan air naik terlalu cepat selain lambat surut.

PASIR PUTEH - Penduduk di Kampung Banggol Pak Esah di sini mendakwa banjir teruk yang melanda berpunca daripada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menyebabkan air naik terlalu cepat selain lambat surut.

Tinjauan Sinar Harian pada Rabu mendapati air di kawasan sekitar kampung ini mencecah hampir satu meter sehingga menyebabkan penghuni di 10 buah rumah di sini berpindah ke masjid serta rumah saudara-mara untuk sementara waktu.

Iklan
Iklan

Wakil penduduk, Zizi Mohamed, 52, berkata, ini merupakan kali pertama dia serta keluarga terpaksa berpindah ke masjid selepas rumah dinaiki air.

Penduduk menunjukkan keadaan air di hadapan rumahnya di Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh.

"Setiap kali musim tengkujuh kawasan ini sentiasa dinaiki air tetapi tidak sedalam, secepat dan lambat surut seperti sekarang sejak projek ECRL dijalankan.

Iklan

"Keadaan ini membimbangkan kami lebih-lebih lagi apabila hujan lebat tanpa henti," katanya.

Bagi Ibrahim Ya, 55, menyifatkan banjir yang melanda kali ini cukup menakutkan.

Iklan

Katanya, hal ini kerana dia dan keluarga belum pernah melihat air yang naik terlalu cepat serta dalam.

"Kami berharap pihak ECRL dapat melakukan sesuatu dengan segera bagi mengelakkan lebih banyak rumah serta harta benda penduduk rosak," katanya.

Sementara itu, sumber ECRL ketika dihubungi memaklumkan perkara tersebut sudah berada dalam pengetahuan pihak mereka.

Menurut sumber, pihaknya mengambil maklum berhubung kejadian yang berlaku dan kontraktor telah menjalankan kerja-kerja mitigasi dengan kadar segera.

"Kami akan menjalankan pemantauan rapi serta berterusan sepanjang kerja-kerja pembinaan ECRL di Kampung Banggol Pak Esah agar perkara ini tidak berulang," katanya.

Tinjauan Sinar Harian pada Rabu mendapati air di kawasan sekitar kampung ini mencecah hampir satu meter.

Sinar Harian pada Jumaat lalu melaporkan lebih 1,000 penduduk di Kampung Banggol Pak Esah di sini terjejas apabila terowong pembinaan ECRL di kampung berkenaan ditakungi banjir akibat hujan lebat.

Seorang penduduk yang juga kontraktor, Azrin Mohamad, 46, berkata, hujan sejak 8.30 malam Khamis itu menyebabkan air setinggi 0.6 meter bertakung di dalam terowong berbentuk C terbabit dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan.

"Penduduk menggunakan laluan utama ini untuk keluar dan masuk dari Kampung Banggol Pak Esah ke Bukit Abal.

"Sejak dua tahun lepas, kami berkali-kali berdepan masalah sama, terbaru bermula semalam (Khamis) air dalam terowong semakin tinggi kerana hujan masih berterusan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Azrin berkata, aduan sudah kerap kali dibuat namun tidak menemukan penyelesaian masalah berkenaan sekali gus menjejaskan rutin penduduk selain terpaksa menggunakan laluan alternatif lebih jauh sekitar lima kilometer untuk keluar ke jalan utama.

"Terowong sepanjang 9.1 meter ini dibina lebih rendah 0.9 meter dari aras jalan menyebabkan hujan akan melalui terowong dan terperangkap di dalamnya menjadi seperti kolam.

"Masalah boleh selesai jika jalan di dalam terowong ditinggikan menjadi sama aras dengan jalan di luar terowong,” ujarnya.