'Nama saya sudah bersih' - Irwan Serigar

Iklan
Mohd Irwan (tiga dari kanan) bersama barisan pembelaannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu.

KUALA LUMPUR –"Selepas enam tahun dua bulan, nama saya sudah bersih, saya yakin tiada kes terhadap saya.”

Demikian kata bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah selepas Mahkamah Tinggi di sini melepaskan tanpa membebaskannya bersama Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu.

Iklan
Iklan

Ia membabitkan kes pecah amanah membabitkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Mohd Irwan (kiri) hadir pada perbicaraan kes pecah amanah yang dihadapinya bersama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion di Mahkamah Tinggi pada Rabu. - Foto Bernama

Selepas enam tahun turun naik mahkamah sejak 2018, beliau memanjatkan kesyukuran kerana kes itu akhirnya selesai.

Iklan

"Segala-gala yang dilakukan, termasuk pembayaran dibuat mengikut prosedur Kerajaan, dengan kelulusan Kabinet.

"Mahkamah membuat keputusan yang betul dan sekarang, saya boleh mengerjakan umrah,” katanya kepada media ketika ditemui di luar mahkamah.

Iklan

Sementara itu, peguam, Datuk Seri K Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan berkata, pihak pembelaan gembira selain menyifatkan keputusan itu adalah betul.

Menurutnya, anak guam telah menderita sejak enam tahun lalu dan terpaksa menunggu perbicaraan yang mana akhirnya, ia berakhir.

Sementara itu, peguam, Lavinia Kumaraendran yang mewakili ahli perniagaan ini berkata, ketidakadilan berlaku berpunca apabila pihak pendakwaan tidak menyerahkan sebahagian dokumen.

"Dalam kes ini, terdapat lebih 164 dokumen, jadi bagaimana kita mahu mengemukakan pembelaan sedangkan dokumen yang penting itu tidak dikemukakan?

"Pelanggan kami tidak boleh menjalani perbicaraan yang adil dan ia merupakan kelewatan yang melampau,” katanya.

Pada Rabu, Najib dan Mohd Irwan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi di sini, daripada enam tuduhan pecah amanah membabitkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion.

Pada 24 Oktober 2018, Najib, 71, dan Mohd Irwan, 67, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.