SHAH ALAM - Selangor menjadi negeri pertama melancarkan Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor sebagai persediaan menghadapi situasi negeri menua apabila sebanyak 8.1 peratus daripada penduduk di negeri ini berumur 65 tahun ke atas.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dasar itu memberi tumpuan terhadap lima teras utama iaitu advokasi dan promosi, tata kelola dan kawal selia, penjaga terlatih dan tenaga kerja, pelaburan dan kerjasama serta inovasi, teknologi dan data.
Menurut beliau, dasar berlangsung sehingga tahun 2030 itu akan mengambil kira aspek penjagaan warga emas, aspek penjagaan kanak-kanak, orang kurang upaya serta pengukuhkan sokongan kepada komuniti penjaga yang formal dan tidak formal.
"Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor ini akan menggabungkan peranan kerajaan Negeri, komuniti dan sektor swasta," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Amirudin memberitahu, meskipun tiada rujukan lain di Malaysia atau pun negara-negara membangun lain, Selangor perlu mengambil tanggungjawab terbabit.
"Walaupun Selangor menduduki tangga kelima selepas Perak, Kedah, Sarawak, dan Perlis dari segi peratus masyarakat menua, dari segi jumlahnya, Selangor mempunyai angka paling tinggi memandangkan kepadatan penduduk dan populasi tinggi sebanyak 7.36 juta.
"Di Selangor, tiga daerah yang mempunyai peratus populasi paling tinggi warga emas adalah Kuala Selangor, Sepang, dan Hulu Langat," ujar beliau.
Jelas Amirudin, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, sebagai perbandingan, pada tahun 1970, hanya 5.5 peratus daripada populasi Malaysia merupakan warga berumur 60 tahun ke atas, manakala jumlah populasi berumur 14 tahun ke bawah adalah sebanyak 44.5 peratus.
"Pada tahun 2024, populasi kanak-kanak berumur 14 tahun ke bawah telah menurun kepada 22.2 peratus, manakala kadar populasi warga emas melebihi umur 60 tahun telah meningkat kepada 11.6 peratus," tambah beliau.
Jelas Amirudin, selain itu, perkembangan ekonomi negeri menunjukkan sebahagian besar ibu dan bapa mempunyai pendidikan tinggi dan menceburi bidang-bidang profesional.
Katanya, solusi mampan bagi perkhidmatan penjagaan kanak-kanak amat diperlukan terutamanya kaedah yang tidak membebankan dari segi kos.
"Dasar ini akan merangkumi peranan agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan agar memudahcara proses latihan serta pengiktirafan penjaga yang tidak formal terutamanya mereka yang menjaga anak-anak atau warga emas di rumah serta komuniti," kata beliau.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri juga akan mengadakan Selangor Care Economy Summit pada tahun depan bagi melibatkan pakar kanak-kanak, warga emas, nutrisi serta pihak berkepentingan lain agar mereka yang terlibat dalam ekonomi penjagaan diiktiraf dengan peranan penting seperti gaji yang lebih berpatutan.
"Saya berharap Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor digerakkan sepenuhnya bagi memberikan kebaikan kepada warga emas, kanak-kanak, orang kurang upaya, komuniti penjaga serta rakyat Selangor secara keseluruhan," jelas Amirudin.