Pemandu kereta catat kemalangan maut tertinggi di Terengganu

Iklan
Mohd Khairi (tengah) ketika sidang akhbar selepas Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya P-Hailing dan Keselamatan Komuniti 2024.

KUALA TERENGGANU - Pemandu kereta mencatat jumlah tertinggi kemalangan maut di Terengganu bermula awal tahun ini sehingga 31 Oktober lepas.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, sebanyak 187 kemalangan melibatkan pemandu kereta dengan jumlah kematian seramai 199 orang direkodkan sepanjang tempoh tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, faktor utama penyebab kemalangan jalan raya itu berpunca dari kecuaian pemandu itu sendiri akibat tidak mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya telah ditetapkan.

"Selain itu, kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal merekodkan sebanyak 171 kes dengan jumlah kematian seramai 193 orang.

Iklan

"Kemalangan maut melibatkan lori pula mencatatkan empat kes dengan jumlah kematian seramai empat orang manakala pejalan kaki melibatkan kematian sebanyak dua orang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya P-Hailing dan Keselamatan Komuniti 2024 di Dewan Auditorium, Stadium Tertutup Gong Badak di sini pada Rabu.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Khairi berkata, kemalangan maut melibatkan bas dan van adalah sifar.

Dalam pada itu, beliau menyatakan jumlah kematian melibatkan pemandu p-hailing adalah seramai empat orang.

"Jadi jumlah kematian secara keseluruhan bagi Januari sehingga Oktober lepas adalah seramai 401 orang," ujarnya.

Mohd Khairi berkata, jumlah kemalangan keseluruhan di Terengganu mencatatkan sebanyak 11,237 kes kemalangan bermula 1 Januari sehingga 31 Oktober lepas.

"Daripada jumlah kes kemalangan itu, sebanyak 367 kes melibatkan kemalangan maut; kemalangan parah (94 kes); kemalangan ringan (244 kes) dan kemalangan rosak pula melibatkan 10,532 kes," jelasnya.

Sementara itu, Mohd Khairi turut menasihatkan kepada pengguna supaya berhati-hati ketika memandu kenderaan atau menunggang motosikal di jalan raya semasa musim tengkujuh melanda negeri ini.

"Kita harap mereka berhati-hati memandangkan sekarang ini cuaca sentiasa hujan menyebabkan keadaan jalan licin sekali gus boleh mengakibatkan kemalangan kepada pengguna jalan raya sekiranya tidak berada dalam keadaan berwaspada.

"Bagi penduduk yang terkesan banjir diminta mendapatkan info yang sahih serta mengikut arahan ditetapkan oleh pihak berkuasa jika berlaku kenaikan air di kawasan tempat tinggal masing-masing.

"Selain itu, hanya 10 peratus pegawai dan anggota polis di setiap daerah di Terengganu dibenarkan bercuti sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) dan arahan tersebut berkuatkuasa pada Isnin lalu," ujarnya.