'Harta saya lebih RM80 juta'

Iklan
KOO HAM
IPOH - Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menyifatkan berita berhubung pengisytiharan hartanya yang berjumlah RM75 juta adalah tidak tepat kerana jumlah sebenarnya adalah lebih daripada RM80 juta.

Koo Ham yang juga Speaker Dun Perak berkata, setakat ini harta yang dimilikinya berjumlah RM80 juta, namun RM2 juta lagi adalah atas nama isteri serta anaknya.

Menurut Koo Ham, jumlah berkenaan tidak termasuk jumlah lain seperti insurans dan lain-lain aset.

Menurutnya, RM80 juta diisytiharkan di atas nama beliau manakala RM2 juta lagi atas nama isteri dan anak.

"Jumlah itu mungkin meningkat beberapa juta lagi kerana terdapat beberapa aset yang belum dinilai jumlahnya.

"Aset-aset ini termasuklah insurans dan syarikat guaman yang diserahkan kepada rakan kongsi untuk diuruskan.

"Paling penting, harta yang dikumpul itu bersih kerana saya tidak terlibat dengan rasuah, termasuk di sepanjang 32 tahun berkhidmat sebagai peguam," katanya pada sidang media hari ini.

Koo Ham berkata demikian bagi mengulas berhubung laporan satu portal berita sebelum ini yang mengatakan dirinya mencatatkan jumlah tertinggi pengisytiharan harta iaitu sebanyak RM75,816,184.00.

Sementara itu, Koo Ham berkata, kesilapan jumlah berkenaan mungkin disebabkan pengiraan dan penjumlahan yang dilakukan pihak tertentu.

Malah menurut Koo Ham, dia hanya mula melibatkan diri dengan bidang pelaburan hanya selepas mendapat RM2 juta pertamanya sekitar 20 tahun lalu dan ternyata ia (pelaburan) memberikan pulangan yang baik.

"Bagi saya, tiada apa yang hendak dibanggakan, saya masih gunting rambut RM6 di kedai India di bawah pejabat saya dan jika ada masa, saya pergi salon dengan bayaran RM15.

"Saya bersyukur kerana tuhan sangat baik dengan saya. Saya yakin, amalan baik, termasuk tidak terlibat dalam rasuah sejak dahulu, adalah antara sebabnya.

"Saya sendiri pernah gagal untuk mendapatkan lesen motosikal dan kereta, semata-mata tidak mahu terlibat dengan kegiatan 'mesti lulus' ketika itu," katanya.