KUALA LUMPUR - Amalan tradisi memperagakan model wanita seksi semasa perlumbaan MotoGP perlu dihentikan kerana jelas bertentangan dengan ajaran Islam dan Rukun Negara, tegas Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh).
Menurutnya, 'sajian' seumpama itu juga sangat tidak wajar memandangkan sukan permotoran begitu sinonim dengan golongan lelaki dan juga diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat.
"Kalau kita lihat, ia bercanggah dengan ajaran Islam, dan ia juga bercanggah dengan Rukun Negara kita yang kelima (iaitu) kesopanan dan kesusilaan.
"Malah ada pengunjung yang merungut dengan perkara ini,"katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Dewan Rakyat pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau memohon agar KBS mengambil kira pandangan tersebut sebagaimana yang pernah dilaksanakan sebelum ini berkait tradisi penyerahan arak.
"Kalau kita tengok dalam kategori sukan F1 (Formula Satu) sebelum ini ada upacara arak diberikan atas podium tapi sejak beberapa tahun kebelakangan sebelum SIC tidak dihidupkan, kita lihat penyerahan arak tidak diberikan.
"Ini satu perkara yang baik yang mungkin boleh untuk kita amalkan di negara kita khususnya dalam isu wanita menjolok mata ini,” katanya.