KUALA LUMPUR - Malaysia perlu mengamalkan sistem dua parti bagi mengelakkan ketidakstabilan politik seterusnya membawa kepada Parlimen tergantung.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, landskap politik semasa dilihat lemah kerana dibentuk oleh parti yang berpecah-pecah, sekali gus melemahkan kemampuan mana-mana parti tunggal untuk membentuk kerajaan yang stabil.
"Apabila berlakunya perpecahan, kita jadi lemah. Itulah yang berlaku kepada UMNO, berpecah kepada lima parti.
"UMNO dulu yang kuat memerintah lebih 70 tahun, berpecah kepada lima parti lemah.
"Apabila ia berlaku, sokongan kita juga terpecah. Tiada lagi yang cukup kuat untuk membentuk majoriti,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Buku Idealis: Syed Hamid Albar di sini pada Rabu.
Tambah Dr Mahathir, situasi menjadi lebih buruk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 kerana tiada satu parti berkemampuan mendapat mandat jelas daripada pengundi.
"Apa yang kita ada sekarang adalah kerajaan yang tidak dipilih rakyat. Ia kerajaan yang tidak disukai rakyat,” jelasnya.
Beliau menambah, Amerika Syarikat dan United Kingdom adalah antara contoh negara yang mempunyai dua parti politik dominan.
Amerika Syarikat katanya, mempunyai Republikan dan Demokrat dan dengan adanya dua parti besar, mereka boleh membentuk kerajaan apabila menang pilihan raya.
"Sistem dua parti penting untuk memastikan kerajaan stabil yang mencerminkan kehendak rakyat.
"Jika kita mahu selesaikan masalah ini, kita perlu bertukar kepada sistem dua parti,” katanya.