11 sungai di Terengganu lepasi paras bahaya

Iklan
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melakukan pemantauan kawasan dilanda banjir di Setiu. Foto APM Terengganu

KUALA TERENGGANU - Sebelas sungai di lima daerah di Terengganu telah melepasi paras bahaya setakat jam 2 petang Rabu berikutan keadaan hujan berterusan sejak beberapa hari lepas.

Berdasarkan data daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, empat sungai melepasi paras bahaya di Setiu iaitu Sungai Chalok di Jambatan Chalok; Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri; Sungai Setiu di Kampung Besut dan Sungai Nerus di Kampung Langkap.

Iklan
Iklan

"Selain itu, di Hulu Terengganu pula melibatkan Sungai Berang di Kampung Menerong dan Sungai Telemong di Kampung Kuala Ping.

"Bagi daerah Dungun melibatkan Sungai Dungun di Kuala Jengai dan Sungai Dungun di Pasir Raja manakala di Kemaman pula melibatkan sebuah sungai iaitu Sungai Tebak di Kampung Tebak yang melepasi paras bahaya," katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi JPS Terengganu pada Rabu.

Iklan

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya di seluruh Terengganu sehingga Jumaat ini.

Jumlah mangsa banjir di Terengganu merekodkan seramai 1,383 mangsa setakat jam 2 petang Rabu.

Iklan

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, Besut merupakan daerah paling teruk terjejas dengan seramai 906 mangsa daripada 249 keluarga sudah dipindahkan ke 16 PPS yang telah diaktifkan.

Bagi daerah Setiu, tujuh PPS sudah dibuka bagi menempatkan 246 mangsa daripada 56 keluarga yang terjejas banjir.

Selain itu, di Hulu Terengganu menempatkan seramai 164 mangsa daripada 55 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS manakala 67 mangsa daripada 18 keluarga ditempatkan di dua PPS di daerah Marang.