KERAJAAN negeri Johor sedang menunggu perkenan daripada pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berhubung penyediaan venue bagi acara sukan bola sepak bagi Sukan SEA 2027 kelak.
Menurut Exco Belia Sukan dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah, hasrat telah disampaikan kepada baginda susulan negeri ini dilihat sesuai bagi penganjuran acara sukan bola sepak kerana memiliki fasiliti terbaik.
"Ia sesuai dengan gelaran tuan rumah bagi pasukan hebat bola sepak JDT (Johor Darul Ta’zim), malah kita mempunyai fasiliti terbaik sukan tersebut dengan kewujudan stadium bertaraf antarabangsa iaitu Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Gelang Patah.
"Dalam rundingan, kami cuma menawarkan bola sepak sebagai venue untuk Sukan SEA 2027 nanti, namun saya akan meminta perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail untuk berkongsi apa sahaja pandangan dan nasihat berkenaan hasrat tersebut.
"Ini berikutan salah satu faktor tawaran kita adalah kita mempunyai fasiliti sukan bola sepak yang bagus dan kemudahan akses penerbangan langsung ke Singapura, mungkin menarik lebih ramai pelancong dan pasukan bola sepak,” katanya pada sidang akhbar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, pada Selasa.
Untuk rekod, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dalam satu kenyataan 28 Ogos lalu menyatakan Malaysia telah menerima tawaran daripada pihak Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) untuk menjadi tuan rumah bagi temasya dwi tahunan ke- 34 itu.
Ia merupakan kali ketujuh, Malaysia dipilih selaku tuan rumah setelah edisi 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017 lalu.
Susulan itu, selain Kuala Lumpur, beberapa negeri seperti Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang juga bakal terbabit selaku venue bagi beberapa acara yang bakal dipertandingkan.
Sementara itu Mohd Hairi berkata, bagi merealisasikan hasrat berkenaan, pihaknya bersama-sama Perbadanan Stadium Johor turut mencadangkan beberapa venue selain Stadium Sultan Ibrahim.
Katanya, antara venue yang ditawarkan melibatkan Stadium Olahraga Mount Austin, Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin dan Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).
"Kita menunggu perkenaan Tunku Mahkota Ismail, baginda sebagai pemilik kelab bola sepak, JDT. Saya juga akan memohon nasihat dan cadangan daripada baginda berhubung rundingan ini,” katanya.