10 pasangan generasi pertama Felda Jengka 21 bersanding buat kali kedua

Iklan
10 pasangan daripada generasi pertama Felda Teratai Jengka 21 diraikan sebagai pengantin sehari buat kali kedua.

JENGKA - Seramai 10 pasangan daripada generasi pertama Felda Teratai Jengka 21 di sini diraikan sebagai raja sehari buat kali kedua.

Program anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) dengan kerjasama Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said yang turut menyumbangkan seekor lembu dan hadiah perkahwinan di Dewan Semai Bakti Felda Jengka 21.

Iklan
Iklan

Ketua Peneroka Felda Teratai, Khairuddin Abdul Malik, 67, berkata, pasangan yang diraikan melibatkan tujuh pengantin Melayu dan tiga pengantin India.

Menurutnya, keterujaan dapat dilihat apabila pakaian pengantin disediakan sendiri oleh anak cucu mereka.

Iklan

"Saya sendiri bersama isteri Nor Fazidah Abdul Razak, 64, turut bersanding semula selepas 40 tahun, dikurniakan lima anak dan 14 cucu malah tidak lama lagi menimang cicit.

"Majlis ini juga sebagai inisiatif untuk menterjemahkan konsep kesetiaan dua jiwa yang berkorban keringat dan semangat kental mengharungi cabaran getir menjadi peneroka Felda," katanya.

Iklan

Pasangan Zul Budi, 69, dan isterinya Rahimah Hashim, 68, berkata, mereka bersyukur kerana berjaya melepasi dugaan besar pada peringkat awal rancangan yang berdepan kekurangan infrastruktur berbanding sekarang.

"Kami juga gembira ahli keluarga dapat bersama dan menyaksikan majlis penuh makna ini," jelas pasangan itu yang memiliki empat anak, 16 cucu dan tiga cicit.

Sementara itu, Pegawai Khas Penyelaras DUN Jengka, Mohamad Razali Mamat yang mewakili Ismail berkata, program terbabit dapat mengimbau semula peristiwa mereka menjadi raja sehari puluhan tahun lalu ketika sebelum memasuki rancangan tersebut.

Jelasnya, berikutan sambutan hangat pihaknya bercadang akan mengadakan program serupa di sembilan rancangan Felda Wilayah Jengka pada masa akan datang.