KUALA LUMPUR - Seorang penghantar makanan dihukum penjara enam tahun dengan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencederakan isteri dan anak kandungnya dengan menikam mereka menggunakan pisau.
Hakim, Norshila Kamaruddin menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan terhadap Mohd Syarifuddin Agussalim, 34, dan memerintahkan hukuman itu berjalan secara serentak bermula dari tarikh tangkap pada 28 Julai.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya Nur Zalikha Idam, 33, dan anak lelakinya berusia enam tahun dengan menggunakan dua pisau di belakang bangunan sebuah kedai serbaneka di Hulu Langat di sini, pada 6 petang, 27 Julai.
Pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan ada orang kena tikam di bahagian tangan dan siasatan lanjut mendapati berlaku pergaduhan antara mangsa dan tertuduh, kerana tertuduh tidak mahu bercerai dengan mangsa.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairul Iqram Hairuddin memohon hukuman berbentuk pengajaran kerana kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius, yang mana tertuduh menggunakan pisau untuk mencederakan isteri dan anak kandungnya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mengenakan hukuman yang ringan. - Bernama