Sorok minyak masak peket belakang kedai runcit

Iklan
Muhammad Nizam (kiri) membuat pemeriksaan ke sebuah kedai runcit di Sungai Petani pada Rabu.

SUNGAI PETANI - Operasi Kita Gempur Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah berjaya mengesan minyak masak peket bersubsidi yang disorok peniaga di bahagian belakang premis kedai runcit di sini, pada Rabu.

Pengarah Pejabat KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, kedai runcit dikendalikan warga asing yang mengaku sebagai pekerja sambilan itu disyaki turut menawarkan barangan dan produk asal dari negara mereka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam operasi itu, dua buah kedai runcit telah dikenakan tindakan bagi kesalahan enggan menjual barang kawalan iaitu minyak masak peket apabila tindakan uji beli dilakukan.

Muhammad Nizam mengesan minyak masak peket yang disorok di bahagian belakang kedai runcit.

"Premis yang diserbu ini menyimpan barang kawalan minyak masak peket, enggan dijual kepada pelanggan tetapi bila periksa ada disimpan di bahagian belakang kedai," katanya kepada media.

Iklan

Beliau dalam masa sama menegaskan siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan sama ada minyak masak peket itu dijual kepada kelompok pelanggan tertentu.

"Tinjauan hari ini masing-masing menafikannya (minyak masak peket dijual kepada golongan tertentu) bagaimanapun, kita akan terus menjalankan siasatan dan terjah di kawasan hotspot di seluruh negeri Kedah," katanya.

Iklan

Beliau berkata, inisiatif Kita Gempur merupakan langkah strategik kerajaan bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi.

Pemeriksaan dilakukan di beberapa buah kedai sekitar Sungai Petani pada Rabu.

"Pada Selasa dan Rabu, KPDN menjalankan Operasi Bersepadu bersama Jabatan Imigresen bagi membuat pemeriksaan ke atas premis perniagaan yang sebilangan daripadanya diuruskan oleh warga asing.

"Dalam operasi yang dijalankan ini, sebanyak enam kes kompaun telah dikeluarkan kepada peniaga kerana gagal mematuhi tanda harga dan penggunaan alat timbang tamat tempoh pengesahan dengan nilai kompaun berjumlah RM600," katanya.

Selain itu, jelasnya, tiga kes lagi membabitkan Akta Kawalan Bekalan 1961 terhadap sebuah restoran yang menggunakan LPG bersubsidi untuk aktiviti perniagaan tanpa permit menyimpan barang kawalan berkenaan.

"Sejumlah enam unit gas petroleum cecair (LPG) yang berisi, tiga unit tong LPG kosong dan 44 kilogram minyak masak peket bersubsidi dianggarkan bernilai RM1,064 telah disita untuk siasatan lanjut," katanya.

Bagi kesalahan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, mana-mana orang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 Juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Salah seorang warga asing yang ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Negeri Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, seramai empat lelaki warga Bangladesh ditahan dalam operasi Kita Gempur kali ini.

Menurutnya, kesemua mereka berusia 20 hingga 35 tahun disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Tiga saman kepada saksi turut dikeluarkan kepada warga tempatan (pekerja/pemilik perniagaan) bagi membantu siasatan," katanya.