TUGAS sukar kini dihadapi oleh Ketua Jurulatih Interim Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Victor Andrag bagi membantu skuad tersebut meneruskan baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.
Menurut bekas ketua pasukan juara berganda Hijau Kuning pada 2007 dan 2008 ini, beliau memerlukan sokongan semua pihak terutamanya pemain untuk meneruskan momentum selepas bekas Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain tidak lagi bersama mereka.
"Bagi memastikan kejayaan pasukan, sokongan banyak pihak amat diperlukan. Dari sudut dalam padang saya boleh lakukan, tetapi dari sudut lain perlukan kerjasama yang baik daripada semua pihak,” katanya semasa ditemui pada sesi latihan di padang Stadium Sultan Abdul Halim pada Selasa.
Sang Kenari kini dalam persiapan bagi aksi timbal balik kedua pusingan 16 Piala Malaysia berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada 1 Disember ini.
Selepas berjaya mengatasi The City Boy 3-2 pada aksi pertama di Stadium Darul Aman pada Jumaat lalu, aksi di Cheras bakal menjadi ujian pertama buat pengendali berusia 48 tahun itu bagi meneruskan momentum kemenangan pasukannya.
Victor menjelaskan, buat masa sekarang beliau akan meneruskan apa yang telah dilakukan oleh Nafuzi terutamanya dalam meningkatkan persefahaman dan juga kerjasama di kalangan semua pemainnya.
Menurutnya, kerjasama terbaik daripada keseluruhan pemain dan juga pihak pengurusan sangat diperlukan ketika ini.
"Sebagai satu pasukan walau dalam apa jua situasi pun, kita mahu semua pemain berada dalam satu kelompok keluarga kerana ini merupakan asas penting dalam memperkukuhkan kedudukan pasukan yang sedang menghadapi cabaran," tambahnya.