ALOR SETAR - Pelbagai produk pelancongan baharu dirangka dalam merancakkan Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025).
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Keusahawanan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, dengan kehadiran produk tersebut, sasaran kehadiran pelancong ditingkatkan kepada tujuh juta berbanding 6.5 juta sebelum ini.
Menurutnya, setakat ini, pengisian TMK 2025 dianggarkan melebihi 100 acara pelancongan melibatkan semua 12 daerah di negeri ini.
"Menerusi Kedah Tourism, pelbagai program disusun termasuk berskala nasional dan antarabangsa. Antaranya, Kedah Lion Dance Festival pada Februari 2025, Temasya Sukan Sungai Antarabangsa (Jun), Pesta Mempelam Kedah (Mei-Julai), Pedu Festival (Ogos), Karnival Jerami Kedah dan Experience Kedah Floria Citrawarna.
"Perancangan lain, ‘International Islamic Festival 2025’, Kedah MyKampung melibatkan pelajar-pelajar antarabangsa serta Pesta Makanan Tradisional Kedah selain Jom Beraya di Kedah,” katanya pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Mohd Salleh berkata, usaha juga dibuat untuk mewujudkan Kompleks Seni menghimpunkan pelbagai karya seni dan seniman, seperti kraf, muzik, puisi, anyaman dan kulit.
"Di Kuala Kedah pula akan dibangunkan Pantai Leman sebagai destinasi pelancongan baharu.
"Penambahbaikan prasarana juga dilakukan di Gunung Jerai, selaku destinasi pelancongan ikonik. Antaranya penurapan jalan kawasan resort, penambahan tempat letak kereta dari 40 kepada 70 petak serta menaik taraf tandas awam. Aplikasi Mygunungjerai dijangka siap Disember ini,” jelasnya.
Menurutnya lagi, beberapa saranan dikemukakan wakil rakyat sepanjang persidangan juga akan diambil kira bagi merancakkan lagi TMK 2025.
"Antaranya, pembangunan Rekreasi Jeruju di Kubang Pasu mampu diketengahkan dengan keunikan tersendiri matahari terbenam, selain menjadi tempat perkhemahan.
"Beberapa kemudahan asas seperti tandas, surau, bekalan air, kawasan parkir serta elemen keselamatan akan diberikan perhatian bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengunjung.” jelasnya.
Menurutnya, cadangan menjadikan Kampung Kota Siputeh sebagai kampung warisan dan Gunung Gua Kerbau sebagai destinasi pelancongan juga diambil perhatian, dengan bekerjasama dengan Jabatan Warisan Negara untuk memulihara dan memulihkan tapak-tapak bersejarah.
"Untuk mengangkat Gunung Kerbau sebagai destinasi pelancongan beberapa tindakan perlu diambil seperti membangunkan laluan pendakian, mendirikan platform pemandangan dan menyediakan kemudahan asas tanpa jejaskan ekosistem semula jadi.
"Saya percaya inisiatif ini akan bantu membawa limpahan ekonomi kepada warga setempat, selain memperkasakan kedudukan warisan sejarah dan khazanah alam semula jadi kita,” ujarnya.
Mohd Salleh berkata, acara melibatkan nelayan darat seperti pelancongan sungai dan tasik, memancing udang galah dan pesta memancing ikan darat juga akan menjadi sebahagian pengisian kalendar TMK 2025.
"Pada 5 Disember syarikat penerbangan Batik Air akan memulakan penerbangan sulung Kuala Lumpur-Alor Setar tujuh kali seminggu selain inisiatif laluan baharu Alor Setar-Kota Bharu, ia diyakini memberi impak positif kepada TMK 2025,” katanya.
Menurutnya lagi, bagi memastikan Kedah bersih dan ceria menyambut kehadiran pelancong, program Gotong Royong Perdana diadakan 19 Disember ini melibatkan semua PBT negeri ini.