PADANG BESAR - Sejumlah 35 tan daun ketum bernilai RM1.75 juta yang dirampas polis Perlis sejak 2017 hingga 2019 dilupuskan hari ini.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, ia adalah rampasan sepanjang 2017 hingga 2019 membabitkan 183 kes yang berjaya diselesaikan.
"Kesemua barang kes ini telah selesai perbicaraan di mahkamah dan mendapat perintah untuk dilupuskan.
"Pelupusan pada hari ini adalah 10 peratus daripada rampasan yang telah kita lakukan sebelum ini," katanya ketika sidang media Majlis Pelupusan Barang Kes Daun Ketum di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar hari ini.
Pelupusan daun ketum itu dilakukan di Kuarters Perumahan IPD Padang Besar di hadapan Pengarah Pendakwaan Negeri, Mohd Nordin Ismail dan wakil Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri.
Menurut Surina, daun ketum yang selebihnya didapati telah reput kerana terlalu lama disimpan.
Dalam sidang media sama, Surina turut memberitahu, sepanjang Januari hingga Isnin lalu, polis Perlis telah berjaya membuat tangkapan melibatkan seramai 400 orang membabitkan kesalahan dadah dengan rampasan sebanyak 621 gram dadah pelbagai jenis.
Dalam tempoh sama juga, sejumlah 12,720 kilogram daun ketum berjaya dirampas pihaknya.
Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan kes belasah pelajar junior di sebuah sekolah berasrama penuh pada Rabu minggu lalu, Surina berkata, kesemua lima suspek tingkatan lima yang membelasah tiga pelajar tingkatan dua telah kembali ke sekolah seperti biasa.