'Saya tawakal, nekad terjun tasik selamatkan empat remaja hampir lemas'

Iklan
Sarjan Mohd Nor Khalid (kanan) menceritakan kembali dia berenang ke tengah tasik di Puncak Alam, Selangor bagi menyelamat empat remaja yang hampir lemas setelah sampan dinaiki mereka karam pada Ahad. Foto: TDM

SUNGAI BULOH -"Pada ketika itu, saya hanya bertawakal kepada ALLAH untuk permudahkan usaha menyelamat mereka di tengah tasik".

Demikian kata anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sarjan Mohd Nor Khalid yang bertindak pantas menyelamatkan empat remaja daripada lemas setelah sampan dinaiki karam ketika memancing di sebuah tasik di Puncak Alam di sini pada Ahad.

Iklan
Iklan

Anak kelahiran Kampung Labit, Lenggong, Perak itu berkata, tidak ada apa yang berada dalam fikiran melainkan mahu menyelamatkan kesemua remaja tersebut daripada lemas.

Beliau yang berkhidmat dalam pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) berkata, setelah membaca Bismillah dan niat semoga dipermudahkan urusan, dia nekad terjun ke dalam tasik.

Iklan

"Alhamdulillah syukur. Dengan izin ALLAH, semuanya selamat dan saya berjaya membawa mereka ke tepi tebing.

"Tetapi tiga atau empat kali juga saya berhenti (berenang) sebelum sampai kepada mereka di tengah tasik.

Iklan

"Kali kedua saya hendak berpatah balik menyelamatkan mangsa, baru saya berasa penat dan ambil nafas, seterusnya meneruskan lagi usaha menyelamat," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, pengalaman pada usia remaja banyak menghabiskan masa dengan mandi dan bermain di sungai menjadikannya 'tidak takut' dengan air.

Dia yang berusia 40 tahun berkata, rumah keluarga yang terletak berhampiran dengan Sungai Perak antara sebab dia boleh berenang dengan baik dan berupaya menyelamatkan mangsa.

Namun tidak mahu mendabik dada, katanya, semua yang berlaku adalah dengan izin Yang Maha Kuasa.

"Masa menyelamat empat remaja di Tasik Puncak Alam itu, ada mangsa tidak pandai berenang dan berpaut pada belakang badan semasa berenang ke tebing.

"Bayangkan bagaimana saya hendak selamatkan apabila ada yang berada di belakang badan kerana ketakutan.

"Dengan izin ALLAH, saya berjaya bawa empat mangsa, seorang demi seorang ke tepi tebing," ujarnya penuh kesyukuran.

Katanya, jarak dari tebing sehingga tengah kolam iaitu kawasan mangsa terapung kira-kira 30 meter, manakala jarak ke dasar amat dalam.

Sementara itu, Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizzudin Jantan menerusi media sosial rasmi TDM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Mohd Nor atas keberanian ditunjukkan.

Beliau berkata, tindakan pantas pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja itu perlu dijadikan contoh serta tauladan buat seluruh warga TDM.