GEORGE TOWN - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pulau Pinang melahirkan kebimbangan dengan kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang tidak akan mengembalikan semula peperiksaan berpusat seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Naib Pengerusi 2 GPMS Pulau Pinang, Muhammad Danial Alimin berkata, keputusan yang diambil Kementerian Pendidikan (KPM) itu dilihat tidak menyelesaikan isu-isu mendasar dalam sistem pendidikan negara khususnya berkaitan kelemahan pelajar dalam penguasaan asas 3M iaitu membaca, menulis, dan mengira serta cabaran menilai pencapaian pelajar secara adil dan menyeluruh.
Menurutnya, pemansuhan peperiksaan seperti UPSR dan PT3 tanpa mekanisme penilaian alternatif yang seragam menyebabkan ketidakselarasan standard pencapaian pelajar di seluruh negara.
Malah katanya, pentaksiran bilik darjah mungkin tidak mencerminkan pencapaian pelajar yang sebenar kerana perbezaan dalam pelaksanaan antara sekolah-sekolah, khususnya di kawasan bandar dan luar bandar.
"Kelemahan penguasaan 3M juga menjadi punca utama pelajar tercicir daripada sistem pendidikan formal.
"Dalam situasi ini, GPMS Pulau Pinang percaya bahawa pemansuhan peperiksaan tidak akan membantu meningkatkan penguasaan asas pelajar tetapi sebaliknya mengaburkan masalah sebenar.
"Kita berpendapat peperiksaan berpusat seperti UPSR dan PT3 berperanan sebagai mekanisme penting untuk mengukur tahap penguasaan asas pelajar pada peringkat kritikal dan memberikan maklumat diagnostik untuk tindakan susulan," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Muhammad Danial berkata, KPM menyatakan bahawa pendekatan ini bertujuan mengurangkan tekanan akademik.
Namun, katanya, GPMS Pulau Pinang berpandangan tekanan bukan berpunca daripada peperiksaan semata-mata, tetapi daripada kurangnya sokongan pembelajaran di rumah dan di sekolah, kelemahan sistem pengajaran dan pembelajaran khususnya di kawasan pedalaman dan beban kurikulum yang tidak relevan dengan keperluan sebenar pelajar.
"Pemansuhan peperiksaan berpusat tanpa alternatif yang kukuh akan memberi kesan jangka panjang kepada kesediaan pelajar memasuki pendidikan tinggi dan pasaran kerja.
"Kita bimbang sistem tanpa orientasi peperiksaan yang jelas akan melahirkan generasi pelajar yang tidak kompetitif, baik dari segi akademik mahupun kemahiran insaniah," katanya lagi.
Sebagai alternatif, Muhammad Danial berkata, GPMS Pulau Pinang mencadangkan pemulihan peperiksaan berpusat dengan pengubahsuaian format supaya ia menilai aspek holistik termasuk kemahiran insaniah, bukan hanya pencapaian akademik selain itu dengan melaksanakan ujian khusus untuk mengesan tahap penguasaan 3M pelajar pada peringkat awal persekolahan.
Katanya, KPM juga boleh menambah baik latihan dan sokongan kepada guru untuk melaksanakan pembelajaran yang inovatif tetapi tetap memfokuskan keperluan akademik asas dan menyediakan program kaunseling dan sokongan emosi untuk pelajar yang menghadapi tekanan, bukannya menghapuskan penilaian akademik.
"Kita ingin menegaskan bahawa penghapusan peperiksaan berpusat seperti UPSR dan PT3 tanpa pendekatan alternatif yang kukuh akan memberikan impak negatif kepada sistem pendidikan negara.
"Tekanan dalam kalangan pelajar harus ditangani melalui penambahbaikan kurikulum dan sokongan psikososial, bukan dengan menghapuskan mekanisme penilaian standard yang penting,"ujarnya.