KOTA KINABALU - Ahli keluarga Hanalin Datu Harun, 39, yang meninggal dunia di Korea Selatan pada Ahad lalu, meminta orang ramai menghentikan penyaluran dana ke dalam akaun bank mereka kerana kos untuk membawa jenazah pulang ke Sabah sudah mencukupi.
Selepas disiarkan Sinar Harian pada Selasa, ahli keluarga arwah telah menerima sumbangan sebanyak RM60,000 melebihi daripada yang diperlukan mereka iaitu dianggarkan RM40,000.
Menurut Normah, 36, sejak disiarkan berita mengenai kakaknya, dia tidak putus-putus menerima wang sumbangan yang disalurkan ke dalam akaun bank miliknya.
"Malah pagi tadi, kami juga menerima kunjungan daripada sebuah yayasan yang menyumbang sebanyak RM30,000 untuk kos penerbangan membawa jenazah pulang.
"Selain itu, beberapa pemimpin tempatan juga ada berkunjung ke rumah dan menyalurkan bantuan dana kepada keluarga sebagai tambahan kos selebihnya termasuk pembiayaan tempat menyimpan jenazah dan bil hospital.
"Alhamdulillah, keprihatinan semua rakyat Malaysia berjaya mengumpulkan dana melebihi yang kami anggarkan. Terima kasih semua yang telah menyumbang," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sehubungan itu, Normah berkata, mereka sekeluarga telah memutuskan untuk menghentikan kutipan sumbangan tersebut kerana dibimbangi melebihi daripada yang sepatutnya.
"Diharap orang ramai tidak lagi menyalurkan wang di dalam akaun saya atau waris yang kini berada di Korea Selatan," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai pengurusan penerbangan jenazah kakaknya, Normah berkata, mereka telah menyerahkan adik saudaranya dan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berada di negara tersebut untuk menguruskannya.
"Bagaimanapun, penerbangan untuk membawa jenazah kakak saya dari Seoul ke Kota Kinabalu belum kami dapat pastikan bila.
"Perkara itu sedang diuruskan di pihak sebelah sana namun kami berharap ia dapat diselesaikan dengan segera," katanya.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan Hanalin disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Asan Chungmu di Wilayah Chungcheong Selatan.
Pada Rabu lalu, Hanalin sempat menghubungi ibunya dan mengadu mengalami sakit serta kejang pada kaki, namun tidak memaklumkan ahli keluarganya yang berada di Kinarut, Papar, bahawa dia dalam keadaan tidak sihat.