GENTING GAZA - Pejuang Hamas bersedia untuk mencapai gencatan senjata di Genting Gaza setelah lebih setahun perang genosid berlarutan di wilayah tersebut.
"Kami sudah memaklumkan kepada Mesir, Qatar dan Turkiye selaku perantara proses damai itu. Hamas serius untuk kembali ke meja rundingan termasuk melaksanakan perjanjian pertukaran tahanan,” kata jurucakap gerakan itu yang turut menuduh Tel Aviv berulang kali cuba menggagalkan kesepakatan tersebut.
Pengumuman itu dibuat setelah Hamas menyambut baik pelaksanaan tempoh bertenang di Lubnan yang berkuat kuasa pada Rabu.
Ketika ini, penduduk Palestin berasa mereka seperti dipinggirkan negara antarabangsa kerana Beirut terlebih dahulu mencapai tempoh bertenang meskipun kempen pengeboman ke atas negara itu bermula pada September lalu.
Kebanyakan penduduk yang hidup dalam ketakutan dan tiada jaminan keselamatan juga bimbang jika Israel akan lebih memfokuskan peperangan di Gaza tersebut atas alasan mahu menghapuskan pejuang Hamas.
"Ia jelas menunjukkan Gaza bersendirian tanpa sokongan dan belas kasihan dunia yang tidak adil. Saya berasa tidak puas hati kerana dunia gagal mencapai penyelesaian di sini. Mungkin ada perjanjian damai lain buat Gaza,” kata bapa kepada lima anak, Abdel-Ghani ketika menzahirkan kekecewaan kerana rejim Zionis terus membedil wilayah tersebut.
Sebelum ini, Hizbullah pernah menyatakan mereka tidak akan bersetuju dengan pelaksanaan gencatan senjata selagi Perang Gaza tidak berakhir, namun wakil rundingan damai berkenaan telah menggugurkan syarat tersebut.
"Pada mulanya kami menyangka peluasan kempen pengeboman bermakna akan menjadi satu penyelesaian buat negara terlibat, namun kami terus diabaikan. Cukup-cukuplah dengan semua ini. Kami sudah terlalu penat. Berapa ramai lagi yang perlu terkorban sebelum mereka hentikan peperangan?
"Perang Gaza harus ditamatkan. Penduduk Palestin sedang dihapuskan, semakin kebuluran dan terus dihujan bom bertalu-talu,” keluh Zakeya Rezik, 56. - AFP