SHAH ALAM - Satu pertemuan khas diadakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi membincangkan isu kekurangan bekalan kelapa di pasaran.
Pertemuan yang diadakan di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur itu disertai oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Shamsul Akbar Sulaiman dan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi.
Iklan
Iklan
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kekurangan bekalan kelapa di pasaran menjejaskan pengguna serta pemain industri yang bergantung kepada komoditi tersebut.
"Situasi ini memerlukan tindakan segera dan penyelesaian strategik untuk memastikan bekalan kelapa mencukupi terutamanya dalam menghadapi permintaan yang meningkat menjelang musim perayaan.
"Saya mahu sinergi antara pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan bagi menangani isu ini secara menyeluruh," katanya menerusi laman Facebook pada Rabu.
Tambah beliau, kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah tersebut yang jelas akan menjejaskan rakyat.
"Insya-ALLAH, kerajaan akan mengambil langkah tegas bagi memastikan rakyat tidak terjejas akibat kekurangan bekalan kelapa di pasaran," ujarnya.