KELANA JAYA - Helah menipu duti setem dan menyimpan barangan lari cukai dalam gudang gagal mengaburi pasukan risikan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Penolong Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Norlela Ismail berkata, pihaknya berjaya membuat rampasan dan tangkapan melibatkan tiga kes penyeludupan barangan kontraban iaitu beras, minuman keras jenis 'hard liquor' serta bir.
Beliau berkata, anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM516,884 manakala nilai cukai dan duti berjumlah RM1.57 juta.
Bagi kes pertama kata beliau, pihaknya menggagalkan cubaan membawa masuk dagangan berupa beras basmati yang disyaki tidak berkastam apabila menahan sebuah kontena bersaiz 12 meter di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, di sini pada 30 September lalu.
"Hasil pemeriksaan rapi terhadap kontena itu menemukan produk makanan disyaki beras putih jenis basmati berjumlah 15,390 kilogram.
"Ia dianggarkan bernilai RM227,000 manakala nilai cukai serta duti berjumlah RM91,000," katanya ketika sidang akhbar di Kompleks Kastam Diraja Malaysia Zon Tengah Unit 1 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Rabu.
Bagi kes kedua, Norlela berkata, pihaknya menyerbu sebuah premis perniagaan di Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur pada 7 Oktober lalu kerana menyeludup minuman keras pelbagai jenama yang dipercayai tidak berkastam dan menggunakan duti setem palsu.
Menurut beliau, ia membabitkan rampasan minuman keras jenis 'hard liquor' berjumlah 3,000 liter.
Jelasnya, minuman keras itu dianggarkan bernilai RM100,000 dan cukai berjumlah RM395,000.
"Modus operandi digunakan adalah menyimpan sejumlah minuman keras di kawasan premis perniagaan bagi memudahkan urusan pengedaran di pasaran runcit di sekitar Lembah Klang," ujarnya.
Bagi kes ketiga katanya, pasukan operasi JKDM menyerbu sebuah premis gudang di kawasan perindustrian Balakong Jaya, Selangor pada 26 Oktober lalu.
Menurutnya, pemeriksaan rapi di gudang tersebut menemukan minuman keras jenis bir berjumlah 27,792 liter.
"Nilai rampasan tersebut sebanyak RM189,884, manakala cukai serta duti bagi bir itu dianggarkan berjumlah RM1.09 juta.
"Selain itu, JKDM turut menemukan tiga buah lori yang masih bermuatan minuman keras di kawasan gudang tersebut," ujarnya.