Suami sempat ajar isteri mengucap syahadah sebelum meninggal dunia

Iklan
Ismail (empat dari kiri) menyerahkan kotak prihatin kepada Awang (depan tiga dari kiri) semasa penyampaian di Pejabat UMNO Bahagian Kuala Selangor pada Rabu.

KUALA SELANGOR - Seorang suami sempat mengajar dua kalimah syahadah kepada isterinya yang meninggal dunia di pangkuannya akibat pendarahan beku di kepala di rumah mereka di Batu 15, Jeram di sini.

Awang Ismail, 49, berkata, Allahyarham isterinya, Jamiah Ibrahim, 47, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira jam 5.30 petang, 23 Oktober lalu.

Iklan
Iklan

"Masih segar diingatan saya apabila sempat mengajar arwah isteri mengucap dua kalimah syahadah sebanyak tiga kali semasa dia dalam keadaan nazak.

"ALLAH lebih menyayanginya dan telah pergi meninggalkan kami sekeluarga, walaupun sedih namun saya tetap reda dengan ujian ini," katanya semasa ditemui semasa Program Penyampaian Kotak Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Pejabat UMNO Bahagian Kuala Selangor di sini pada Rabu.

Iklan

Menurut Awang, kehilangan isterinya itu amat dirasai anak tunggal mereka, Ahmad Faris, 9, yang kerap kali menyebut nama Jamiah.

"Masa awal kematian isteri dulu, anak saya kerap mengigau waktu tidur akibat terkenangkan ibunya.

Iklan

"Beberapa kali saya cuba memujuknya dan syukur dia (Ahmad Faris) kini semakin tenang dan boleh terima takdir ini.

"Saya akui memang tidak boleh tidur lena kerana arwah amat rapat dengan saya, malah kami juga bekerja di tempat sama sebagai pekerja pembersihan di sebuah sekolah.

"Sejak arwah tiada, saya dapat rasakan rumah kami sunyi, namun jauh di sudut hati saya tekad untuk membesarkan anak kami agar menjadi insan berguna suatu hari nanti," jelasnya.

Sementara itu, Pengarah PERKESO Selangor, Ismail Abi Hashim berkata, suami kepada orang berinsurans layak menerima beberapa faedah selepas kematian wanita itu.

"Waris layak menerima faedah pengurusan mayat berjumlah RM3,000 dan bayaran faedah pencen penakat akan dibayar kepada suami dan anaknya sehingga berumur 21 tahun atau sehingga mendapat ijazah pertama.

"Jumlah keseluruhan pencen bulanan yang dibayar kepada waris adalah sebanyak RM654.89 sebulan," katanya.