IPOH - Kerajaan Perak tiada perancangan untuk mengubah waktu bekerja sektor awam di negeri ini kepada empat hari setengah seperti dicadang dilakukan di Johor.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelaksanaan perkara itu memerlukan kajian dan penelitian menyeluruh kerana melibatkan produktiviti kerja dan penyampaian perkhidmatan.
"Ini perlukan kajian, mungkin Johor sudah buat kajian itu, tetapi dalam hal ini 'lain padang lain belalang'.
"Kita tidak akan terburu buru buat keputusan. Jika ada keperluan, maka kita akan buat kajian untuk melihat dan menilainya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberiya selepas merasmikan Majlis Aspesiasi 'Jelajah Nyalaan Bara Api Bersama Cikgu Saarani' dan Penyerahan Watikah YP Smart Target SPM 2024 peringkat negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Rabu.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah; Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Khan dan Pengarah Pendidikan negeri, Safuan Raba'ai.
Media melaporkan Johor sedang meneliti cadangan perubahan waktu bekerja sektor awam negeri itu kepada hanya empat hari setengah susulan pelaksanaan cuti hujung minggu yang diubah semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari depan.
Sementara itu, Saarani memaklumkan program kecemerlangan pelajar termasuk Tuisyen Cikgu Saarani menjadi intipati penting yang diberi keutamaan dalam Belanjawan Perak 2025 yang akan dibentang pada Jumaat ini.
Katanya, setiap peruntukan tersebut adalah bergantung kepada jumlah pelajar terlibat kerana ianya turut melibatkan pembiayaan makanan.
"Lagi ramai murid lagi besarlah pembiayaannya. Apa-apa pun tunggu saya umum Jumaat nanti," katanya.
Jelajah Nyalaan Bara Api Bersama Cikgu Saarani yang berlangsung selama sebulan bermula Oktober lalu telah menghimpunkan 6,000 murid Tingkatan 5 dari seluruh negeri.
Program motivasi itu merangkumi kumpulan potensi lulus dan potensi cemerlang bertujuan meningkatkan semangat calon dalam menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Disember depan.