PUTRAJAYA - Malaysia terkenal sebagai negara pengeluar durian utama dunia dengan pelbagai variasi antaranya Musang King, D24, Black Thorn dan Tekka.
Secara puratanya, sebanyak 390,635 tan durian dihasilkan pada tahun 2020 dan anggaran pengeluaran dijangka meningkat kepada hampir 493,397 tan menjelang tahun depan.
Kulit dan biji durian menyumbang 70 hingga 85 peratus daripada jumlah berat keseluruhan buahnya mengakibatkan industri ini menghasilkan jumlah samping yang tinggi.
Menyedari hal tersebut, Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) melihat kulit durian sebagai peluang untuk meneroka bidang baharu.
Ketua Program, Jabatan Biosains Fakulti Sains Gunaan TAR UMT, Profesor Dr Tang Pei Ling berkata, bermula pada musim durian tahun lalu, pihaknya memilih kulit durian D24 sebagai permulaan.
"Pada peringkat permulaannya kami berhasrat untuk menukarkan sisa kulit durian ini sebagai bahan dalam makanan, namun ia tidak sesuai kerana bimbang tercemar.
"Jadi, kami memutuskan kajian untuk bahan di dalam kosmetik," katanya ketika ditemui di Festival Idea Putrajaya, di sini pada Rabu.
Ujar beliau, selepas diekstrak, bahagian dalam kulit durian yang berwarna putih itu didapati kaya dengan polisakarida bioaktif.
"Polisakarida bioaktif ini menunjukkan sifat antioxidan, anti-radang dan pemutihan kulit yang mempunyai polimer besar serta aktiviti tinggi," jelas Pei Ling.
Menurutnya, kajian awal mendapati ia turut mempunyai aktiviti pemutihan kulit yang tinggi selepas dibandingkan dengan pengekstrakkan air.
"Selepas itu kami dapati bahan tersebut perlu dirawat dengan enzim terlebih dahulu sebelum diekstrak bagi menghasilkan aktiviti lebih tinggi," katanya.
Tambah beliau, kajian tersebut masih dalam peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D).
"Kami masih belum memohon mana- mana geran dan kita sasarkan penghasilan produk akhir kajian ini dalam tempoh dua tahun akan datang," katanya.